Wednesday, November 5, 2008

aThar

Imam Ahmad bin Hamba ra berkata :"Tidak ada bahaya bagi iman, kecuali kecintaan kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati, kecuali kecondongannya kepada perhiasan dunia. Bila iman rosak dan hati hancur, apa lagi yang akan di banggakan seseorang di hadapan Allah swt nanti?

– maka buatlah sebanyak-banyak amal ibadah dan biarlah amal yang dilakukan meninggalkan kesan yang bakal menjadi saksi bukti sebuah keimanan.


Athar

Untuk diri sendiri, bukan pada sesiapa.


78:18

‘(yaitu) pada hari sangkakala ditiup, lalu kamu datang berbondong-bondong,’


dia tergesa-gesa mencari tempat duduk. Menyapa penyambut tetamu dengan senyuman sebelum menanda kedatangan. Tangannya menurunkan payung sambil sebelah lagi tangan melipat bahagian atas payung sekemas yang mungkin. Sekilas menoleh keluar, ternyata hujan masih seperti tadi. Renyai yang panjang lagi mendamaikan.


Segera masuk ke dalam. Mata melilau memandang sekeliling, yang rata-rata telah dipenuhi terutama daripada golongan ibu dan bapa. Usai kelas petang itu, dia mengira mahu memenuhi jemputan kawan yang telah acapkali mengajak dia ke situ. Cuma dia yang banyak mencipta pelbagai alasan; sibuk, malas, tiada pengangkutan, hujan, yada yada yada.


Sudahnya, begitu banyak siri pengajian yang ditinggalkan. Merugikan.

Diri menghala ke bahagian tepi dewan, sebelah kanan, bahagian belakang yang nyata punya beberapa tempat duduk yang masih kosong.


‘sahabat bertanya perihal ayat itu, dan jawapan yang nabi saw beri adalah; wahai muadz, sungguh kau telah menanyakan suatu hal yang besar, kemudia nabi lantas menangis’


telinga menangkap butir-butir ceramah. Sambil tangan masih menggagau mencari buku dan pen di dalam beg sandang yang dibawanya.


‘pertanyaan sahaja sudah berat, hingga nabi menangis ketika mendengarkan, apatah lagi bagi yang mengalami kejadian qiamat itu nanti,’


ya, isi pengajian pada kali ini sedikit menyentuh tentang suatu hari yang pasti, tidak boleh dipertikai akan kewujudannya namun selalu dipandang sepi dan sering dilupakan oleh dirinya. Terlalu pasti adanya hari tersebut hingga termasuk ke dalam rukun iman. Menjadi rukun yang kelima. Menjadi sebutan di dalam hadith-hadith nabi, ‘barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat....’


dan dia terus leka, walau berkali membaca, namun masih belum benar-benar hadam, dihayati, belum sebati menjadi darah daging. Masih gagal menjadi sepandai-pandai manusia, yang selalu memikirkan yang pasti, yang memikirkan mati, memikir akan untung nasib diri di hari tiada naungan selain naungan daripada Nya.


Pengajian masih berlangsung,


‘hadith ini memberi ingatan bahawa setiap amal manusia tercatat rapi, mustahil dapat ditutup daripada pandangan Allah, mustahil dapat lepas daripada catatan encik raqib dan ‘atid'


- ok, she added the ‘inche’ part.


‘juga mengingatkan setiap perbuatan manusia; setiap perbuatan saya dan ummat ini, akan menerima balasan sesuai dengan amalannya, itulah bahagian daripada keadilan Allah,’


sungguh dia benar-benar berharap agar Allah berat sebelah terhadapnya. walaupun tak kan layak, semoga Allah bermurah hati menganugerahkannya keselamatan dari neraka dan seksa kubur.


‘maka, amalan yang bagaimana yang harus dilakukan?’


dia menunggu jawapan.


‘sungguh, Kamilah yang menghidupkan orang yang mati, dan Kamilah yang mencatat apa yang telah mereka kerjakan, dan bekas-bekas yang telah mereka (tinggalkan). Dan segala sesuatu, Kami kumpulkan dalam kitab yang jelas (lauh mahfudz), terjemahan surah yaasin ayat ke 12. athar membawa maksud amalan seseorang yang meninggalkan bekas yang diikuti oleh yang lain, yang mana orang itu akan mendapat bahagian daripada apa yang diajarkannya kepada orang lain itu.


Dengan tenang, ustaz menyampaikan penerangan.


Dia cuba untuk memahami, menghadam, semoga menusuk ke hati agar mejadi peringatan bagi dirnya.


‘sebagai contoh, seseorang mendirikan masjid, menyalurkan air ke kawasan berpendudukan, menggali telaga, menanam pokok buah-buahan, mengajarkan ilmu, maka selagi mana manusia beramal ibadah di dalam masjid tersebut, selama mana manusia mahupun haiwan, mendapatkan air dan makanan daripada sungai yang mengalir dan telaga jua pohonan yang merimbun buahnya, serta manusia mengamalkan semua ajarannya, biarpun dia sudah ditelan bumi, namun dia masih memperoleh untaian pahala daripada amalan semasa hidupnya yang meninggalkan bekas lalu bermanfaat kepada makhluk Allah yang lain.’


Dia mengangguk tanda mengerti, mengingatkan dirinya bahawa semua makhluk adalah tanggungan Nya, dan yang paling dicintai antara mereka adalah yang paling bermanfaat bagi tanggungannya. Simple and realistic, those words define islam.


‘maka amalan yang meninggalkan bekas lalu diikuti adalah amalan yang dicari. Dalam sebuah hadith dari Abu hurairah r.a ada menyatakan, Rasulullah saw bersabda,


Barangsiapa mengajak kepada suatu petunjuk (hidayah), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun pahala mereka. Dan barangsiapa mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun dosa mereka” (HR. Muslim)


maka, pastikan dalam beramal, bekasnya biar kelihatan, biar menjadi ikutan. Dahulu, ada seorang hamba Allah yang berusaha untuk membangunkan sebuah sekolah pondok, buat mengajar penduduk-penduduk kampungnya. Usai mempersiap bangunan buat keselesaan menuntut ilmu, dia berusaha pula agar setiap siri ceramah dan pengajian menjadi konsisten, memanggil guru-guru agama dari luar untuk menurunkan ilmu kepada masyarakat. Terus menabur bakti di jalan Allah hingga dia meninggal dunia. Walau dia sudah tiada, namun peninggalan usahanya masih ada kelihatan, masih berguna. Maka luar biasa sekali balasan yang dia bakal terima.’


Dengan panjang lebar ustaz memberi penjelasan. Dan dia, masih terfikir dan mencari-cari, amalan yang pernah dia lakukan dalam hidupnya yang panjang, yang bisa membolehkanya terus-menerus memperoleh kebajikan walaupun jasadnya telah lenyap. T.i.a.d.a. dan masa semakin suntuk.

Sesekali pandangan tertumpu keluar, melihat pada rintik-rintik hujan dan air yang bertakung membentuk lopak. Dan ayat seterusnya yang diutarakan oleh ustaz memang membuatkannya tergamam.


‘hukum yang sama juga jatuh pada segala amalan kejahatan dan kesesatan. Setiap yang memulakan kemungkaran dan maksiat, juga akan ikut tanggung dosa orang yang mengikutinya. Buat hiburan di kampung, lama-kelamaan masyarakatnya lalai, meninggalkan ajaran Islam, masjid dan surau menjadi kosong, satu kampung menjadi rosak sampai berpuluh-puluh generasi. Sudah pasti yang memulai ikut serta dalam kancah dosa. Dosa yang bukan sedikit.’


Ok, mungkin ini memang hari menghisab diri dan bermunasabah.


‘harus diingat sebaik-baik manusia biar yang bawa manfaat pada yang lain, itu antara intipati sepotong hadis. Kadang-kadang seseorang itu mengira tiada berdosa baginya kerana dia hanya mengajak, tapi terpulang pada orang ramai sama ada mahu ikut atau tidak. jangan begitu. Setiap orang harus bertangungjawab atas segala tindakan, jangan sesekali berlepas tangan.’


Dia menelan liur, memikir-mikir amalan yang sedikit.


‘sebagai contoh, seseorang itu modalnya cuma mengucapkan ‘itu’ sambil menunjuk ke arah tempat hiburan, judi dan maksiat, juga sudah termasuk dalam pemegang saham penanggung dosa. Apatah lagi jika orang yang ditunjuki itu kemudiannya menghebahkan tempat maksiat dan kemungkaran itu kepada semua, umpama nuclear chain reaction, pastinya luar biasa dosa yang ditanggung. Begitulah yang terjadi pada para perintis perkara-perkara tahyul, kurafat, bidaah dan syirik.’


Dia termenung, memikirkan segala tindakannya. Manusia punya mata, bisa melihat, telinga, untuk mendengar dan mulut membicarakan. Bimbang jika tingkah lakunya yang selalu tidak berlandaskan Islam diguna pakai oleh ramai untuk justifying perkara yang salah. Dengan alasan, ‘eleh, dia yang dari sekolah agama pun buat macam tu, apatah lagi kita yang tak de proper education dalam soal agama,’


meraup muka, melihat jam di tangan. Waktu sudah hampir mencecah jam 5pm. Mungkin sebentar lagi, majlis akan diakhiri.


‘terakhir, bahagia dan celakanya manusia itu semua sudah tertulis secara nyata dan pasti di Lauh Mahfudz, dan hanya Allah sahaja yang mengetahui. Maka, seseorang itu harus berusaha mencari kebahagian di akhir sebuah kehidupan, kerana manusia tidak tahu pengakhiran hidupnyalah, maka dia harus berusaha dan berharap tanpa henti atau jemu, sungguh orang yang berputus asa dari rahmat Allah adalah mereka yang sesat,’


kedengaran batuk-batuk kecil pemberi ceramah, meneguk air di dalam gelas kaca yang diletakkan di atas meja teh di depannya sebelum kembali bersuara.


‘perumpamaan manusia di akhirat nanti dan neraka adalah seperti 2 tebing yang antara keduanya terdapat sebuah jurang yang dalam. Dalamnya jurang itu hingga jika sebiji batu dilempar ke dalamnya, maka mengambil masa 70 tahun untuk sampai ke dasarnya.


Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” Hadis riwayat Muslim.


Bukan sahaja dalam, bahkan di dalamnya punya api yang panas membakar. Manusia hanya membisu, biar anggota tubuh yang berbicara, mendedah segala noda. Dasyatnya sambaran api kepada penghuni neraka hingga setiap yang mendengar jeritan terkaku. Ya, terkaku tatkala mendengar, tetapi lebih pedih jika jeritan suara itu dari seseorang yang dikenali. Boleh jadi bapanya, ibunya, isteri atau suaminya, adik-beradik, anak-anaknya, jirannya atau sahabatnya.


"Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak, hampir-hampir (neraka) itu terpecah lantaran marah." (QS. Al-Mulk: 7).


Majlis sudah lama tamat, dan dia masih static di atas kerusi yang didudukinya. Sayang di dunia tak membawa ke mana. Cerita akhir yang disampaikan punya sejuta pengertian yang mendalam. Bukan cerita biasa, namun peringatan. Biar sayang yang membawa ke syurga, diam bersama mereka yang tercinta. Maka, dia harus menyampaikan, menyebarkan agar dia juga mendapat peringatan.


Dan hujan masih lagi begitu, renyai yang nyata mengasyikkan dan membawa kenyamanan.

No comments: