Monday, October 17, 2011

yang paling depan ... dan yang paling segan




di sebuah desa yang baru mulai mengenal erti pentingnya kepimpinan dan beragama ...



di sebuah gerai ketika penduduknya sibuk berborak kosong dan berbicara tentang politik dunia.

dari ramai-ramai penghuni, masing-masing datang daripada kelompok manusia yang berbeza pegangan, yang masih sama cuma sekadar niat di hati yang mahu pada kebaikan dan apa yang dinamakan desa yang dipenuhi kebajikan.

satu orang datang memainkan peranan. menyatakan keresahan pada letak duduknya ahli tertinggi kampung mereka. sudah tentu orang itu tidak salah, sekadar ingin tahu dan khuatir pada kepimpinan. itu pada dasarnya bukan suatu masalah yang berat. walaupun sebelum ini belum pernah ada yang mempersoal, namun kerana kawasan kejiranan sebelah sudah mula dipengaruhi dan dijajah oleh kuasa asing, maka dengan berat hati permsalahan itu terpaksa diutarakan.

rupanya soalan itu datang dari sang ketua. dia khuatir betapa beratnya kuasa luar akan mempengaruhi fikiran anak-anak muda, boleh jadi sehingga anak-anak muda yang lupa dunia ini menjadi semakin lupa atau buat-buat lupa pada kampung akhirat.

setelah dengan hampir terpaksa soalan pun terluah dari mulut sang ketua, masing-masing terdiam. sebelum ini belum pernah terfikir dan terlintas suatu hari nanti mereka akan dijajah oleh kuasa luar. sebelum ini mereka aman-aman sahaja. walaupun banyak berbuat dosa dan maksiat, banyak mengumpat dan membuka aurat, tiadalah mereka berasa bakal mendapat seksaan. buktinya, desa mereka sering terselamat daripada bencana alam. maka, tiadalah mereka merasa murka Allah akan terkena pada mereka.

tapi apabila sang ketua mula gusar dan tak betah untuk duduk diam, ditambah pula kekalahan desa sebelah pada kuasa luar yang menjajah, menjadikan topik yang sebelum ini dianggap remeh, sudah tidak dipandang enteng lagi. masing-masing mula berfikir dan berkobar-kobar bersemangat waja untuk mempertahan desa tercinta mereka.

dari wakil puak kiri, mereka seolah-olah menyalahkan sang ketua. ialah, 'sang ketua ni lenient sangat. kami inginkan ketegasan. kami ingin segera mencapai wawasan islam. kalau boleh kami nak semua mengikut apa yang kami buat. kalau ikut tok ketua yang cuma ceramah sikit-sikit di masjid setiap antara maghrib dan isyak, bila pulak nak mencapai matlamat. asyik pending, pending dan pending ajalah.' berkata wakil dari puak kiri dengan penuh emosi.

yang lain terdiam. mungkin terkejut dengan sikap yang ditunjukkan. setelah beberapa saat berlalu, barulah ada suara-suara sumbang tetapi jujur yang cuba mempertahan tok ketua, 'dah memang mereka tu dari dulu tak suka tok ketua memimpin desa ni, bila ada masalah sikit, bukan nak cari jalan sama-sama, tapi masing-masing nak mencalon ketua pilihan mereka. bukan ke mereka kalau boleh nak orang-orang mereka sahaja yang kuasai pentadbiran? nak cara mereka saja dalam mentadbir? ingat kalau mereka yang pimpin desa ni, automatic ke desa ini akan dipanggil lebih islamik? atas jaminan siapa? jangan sombong kawan.'

seorang lagi menambah, 'iyalah, sub bahagian ini memang terkenal dengan semangat tapi rata-rata kurang dalam adab dan akhlak. mereka suka pada kebaikan, berusaha bersungguh-sungguh, itu semangat, tapi agak kurang sewaktu menegur. mungkin kerana orang yang bersemangat lebih tapi kurang ilmu itu kurang juga hikmahnya'

suara lain ikut membidas, 'ya, saya mati-mati ingat mereka ni orang-orang yang matlamat menghalalkan cara. kurang berhikmah dan kurang berbahasa. mereka tak kisah macamana teguran mereka janji disampaikan, tak ambil peduli ada hati yang terasa, ada jiwa yang terluka dan ada akal yang memberontak dengan sikap mereka. mana-mana mereka nampak silap, tanpa usul periksa atau berfikir panjang mereka terjah. yang jadi masalah, mereka salah tuju. orang awam yang kena padahal pergi la langsung ke pucuk kepimpinan. kalau mengapi-apikan orang awam kan nampak kurang hormat pada pemimpin atasan.'

seorang lagi menyampuk, 'eh betullah. ada yang on the spot kena tegur dengan keras. kalau mereka ada ilmu tentang hikmah, mungkin mereka tahu Nabi dulu menegur dengan sabar. kata seorang ulama, kita mengemis kasih orang yang diajak, agar kembali kepada Tuhan. kalau mereka tegur dengan terlalu kasar, tak ada basa basi, main tikam je, kalau orang yang ditegur sakit hati, apa bukan lebih besar masalah. desa kita ni dah cukup penuh dengan orang-orang yang serba tak kena, yang kuat memberontak, yang rasa diri boleh hidup sendiri, yang overconfident, yang dah rasa cukup baik dengan apa yang dia buat, yang rasa boleh buat amalan ibadah yang ini tapi tinggal yang itu, yang rasa diri adalah orang barat yang terperangkap dalam badan orang timur. kalau tambah satu lagi golongan; yang memberontak kerana ditegur kasar, alamak tak jadi la nak menyatukan penduduk-penduduk desa kita.'

seorang lagi sudah menggeleng-geleng kepala, 'kasar tu satu, matlamat menghalalkan cara pun satu. kuat bercakap belakang pun sama. kalau benar dia nak tau background supaya boleh fikir cara nak approach, tak perlulah sampai berbincang nama orang dan sifatnya. cukup sekadar minta pendapat, tak perlu tau siapa. tak payah sampai bagitau semua yang ada. refer aja pada alim ulama'. buat macam tu, kita jadi baiknya tak juga. makin berpecah mungkin juga. mungkin dalam mereka bersemangat mereka terlalu mengharap hasil dari usaha mereka. selagi tak nampak hasil, selagi tu la mereka akan memberi tekanan. bukan ke sepatutnya kalau dah rasa tak berhasil, evaluasi cara masing-masing dan cuba pendekatan yang lain?'

'padah mereka bercakap tentang orang lain di belakang, orang lain juga berani-berani aja bercakap tentang mereka. ada yang cakap, mereka ni memang suka menyendiri dan buat aktiviti antara mereka-mereka sahaja. bila orang lain tanya, mereka cuma diam. mungkin mereka tak sedar tok ketua, tapi ramai yang terasa hati. hah, macamana pula tu? kita yakin mereka bukan begitu tapi cara dan gaya mereka seperti mereka saja yang bagus, dah benar, dah tepat. tapi, sejujurnya orang lain yang melihat dari luar masih ragu-ragu. ada yang sampai menuduh mereka ini bajet bagus, holier than thou.' sela satu lagi penduduk desa.

tok ketua akhirnya berkata, 'sudahlah, kita bukan nak mengumpat dan mengutuk. ini persoalan macamana nak memantapkan kedudukan desa kita. kalau kepimpinan bermasalah, habislah. kuasa luar dah mula melihat-lihat. untuk mereka yang begitu, nanti kita bercakap dari hati-ke-hati. mata- ke-mata, kalau kita mengutuk di sini, sama aja kurang berhikmah'

baru mereka terdiam. satu orang mencadangkan supaya bergabung saja dengan kuasa luar itu. 'kalau kita dah sama taraf dengan mereka, co-partner, tak kan mereka nak menjajah kita lagi. kita kan kawan. kawan mana makan kawan.'

tapi yang lain menolak. alasan mereka kerana pernah bekerjasama dengan kuasa luar itu, mereka cukup baik dan ramah, tapi matlamat ternyata berbeza. 'mereka maukan yang dunia-dunia aja, sedangkan kita mau yang lebih-lebih jauh dari sekadar dunia aja. bukannya kita nak tinggal mereka, tapi untuk bergabung dalam keadaan mereka sama sekali tak faham pada agama kita dan suka pada hiburan dunia semata adalah satu malapetaka.'

tok ketua menyambung, 'kita akui, yang salah itu kita, tak berusaha sungguh-sungguh nak bagi faham, ye la, macamana nak bagi faham, kita pun sama saja macam mereka, bila dihidang hiburan dunia, kita yang paling ke depan. bila diajak ke agama, kita yang paling segan. biar kalau nak bergabung walau mereka tak faham, tapi sekurang-kurangnya mereka ada rasa hormat pada agama kita. kalau rasa hormat pun tak ada, apa aja yang tinggal pada kita. bukan bergabung namanya, tapi menyerah kalah.'

'betul tu tok ketua. kita buat dulu kerja kita, hasilnya terserah pada Allah tapi yang penting kita dah berusaha mahukan rasa hormat itu ada pada hati-hati orang lain. lepas tu baru kita tengok, perjanjian persefahaman mana yang kita dan mereka sama-sama boleh capai dengan adil dan saksama. kita kena ingat, kita bergabung bukan nak pangkat, nama, glamor, dana tambahan untuk buat program, tapi semata-mata nak kuasa luar tu tahu akan keindahan agama Islam yang kita amalkan.' celah seorang lagi.

'kalau gitu la gayanya tok ketua, kita tak payah la bergabung dengan mereka. nama aja bergabung, tapi dasarnya kita berada bawah mereka. kalau yang atas kurang faham, kita pula tiada usaha nak memahamkan, gayanya bukan kuasa aja yang hilang, agama pun lesap. ibarat yang di bawah selalunya hanya mengikut arahan ketua. kalau arahnya hiburan, berhiburlah. kita hilang arah dan daya.' seorang penduduk memberi kesimpulan.

masing-masing mengagguk perlahan tanda mengiyakan. satu suara kemudian kedengaran, 'tok ketua, apa kata kita gabung saja dengan kumpulan kampung seberang? mereka itu orang kita-kita juga. suka pada benda-benda baik juga. ada la satu dua kenduri kendara kerbau satu-dua ekor mereka tumbangkan pada majlis agama. bukan tok ketua kata tadi, yang faham pada agama kita lagi mudah kalau nak bergabung? majlis agama mereka pun boleh tahan grand juga tok ketua, maklumlah mereka orang berada. orang banyak duit. kita pun bukan tak pernah ke majlis agama yang mereka buat, majlis raya aidilfitri dengan raya haji. bukan ke tu dah cukup jadi bukti betapa mereka itu suka pada agama dan ibadah?'

semua terdiam seperti mula mahu menyetujui pendapat tadi. tetapi tiba-tiba, 'bukan tak nak setuju, tapi tok ketua mereka ini pun sama aja. hari ni bertadarus Quran, esok beriya-iya buat majlis ada joget lambak. lusa buat pertandingan hafazan, tulat dan dan dia buat pertandingan ratu cantik. mereka agama, agama juga. kalau dihidang dunia, mereka ambil juga. suka mereka dengan hiburan, lebih-lebih lagi pada nyanyi-menyanyi. alasan untuk hiburan bagi tetamu yang bukan muslim tapi mereka juga yang paling galak.'

'khuatir juga saya mendengarnya tok ketua. tapi bukan tang hiburan aja, tang berduit tu buat hati susah juga. buatnya mereka cuma berminat bergabung untuk tenaga kerja kita aja bagaimana tok ketua. mereka mungkin menyangka biar mereka yang salurkan duit, kita yang bantu dengan tenaga. tapi, yang dirisaukan kalau tujuan tak sama, kita nak bagi pendapat nanti silap hari bulan kita dikatakan tak sedar diri, duit orang bagi dan dan nak banyak cakap. kita ni cuma sekadar melukut di tepi gantang. cuma menumpang tuahnya orang. cuma sumbang tenaga dalam majlis orang. hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. tak pun di sound nya kita nanti, kita tak mahu berburuk sangka tok ketua, tapi sebab pernah jadi dalam majlis mereka, orang kampung sebelah mengadu, bila ada yang nak bagi pendapat, dikatanya mereka boleh putuskan sendiri sebab ini majlis mereka, ini bukan urusan atau keputusan tok imam di kampung satu lagi' berkata seorang lagi.

'saya pun ada dengar ceritanya. takut saya jadinya tok ketua. saya ingat majlis tu majlis agama, tak apalah kalau ada tok-tok imam yang nak bagi sedas dua pendapat. bukan mereka cakap kasar-kasar pun, cuma fikirkan kebaikan ummat. tapi bila dah dibagi warning macam tu, kampung sebelah dah malas nak joint venture. dah itu pendirian mereka, kita hanya tolong bagi tenaga kerja, urusan atas urusan mereka. yang mereka risau kalau tetamu rasa tertekan dengan majlis bercorak agama mereka. tok -tok imam tu dah bagi alasan, mereka yang jadi tuan rumah, merekalah yang tetapkan rules. adat nak bertandang rumah orang. kita yang buat majlis, kita lah yang set up nak buat apa. orang yang datang, kita layan, bukan kita nak buat naya, cuma ini majlis agama, bukan majlis ronggeng. hiburannya berdasarkan agama, ada sopan, ada silu. bukan mengikut nafsu. tak ke ironic tok imam. bulan lepas bertadarus, bulan ini joget bagai nak rak.'

'betul jugak tok ketua. hujung-hujung program amal, buatlah sambutan kejayaan ibadah. tapi kalau berpesta sakan, berjaya ke mana, akhlak ke mana. takut jadi sia-sia tak bererti aja apa yang dibuat sebelumnya. dah tak nampak indah islam, tak nampak suci majlis jadinya. hanya pesta suka-suka dan socializing golongan yang rasa separa elite' akhiri seorang penduduk.
 
tok ketua tersenyum sumbing, nampak gaya tak adalah pilihan untuk bergabung bagi desanya. yang satu tak faham, yang lagi satu kurang faham. mungkin ini yang terbaik, jatuh atau bangun desanya nanti biar dengan cuma satu tujuan, bukan berbahagi-bahagi tujuan dan bekerjasama dengan orang yang tak sama tujuan semata-mata untuk dana, nama, pangkat. rezeki Allah yang bagi, ada rezeki jalanlah project di desanya nanti, kalau tak ada dari luar, mereka ikhlaskan hati saja infaq untuk mengumpul dana.

yang penting pendirian jelas dan yang tetapkan aturan menjadi milik mutlak penduduk desa berdasarkan jalan agama. tak dipengaruhi atau takut-takut atau terhutang budi sebelum mengeluarkan pendapat. bercakap pasal politik kampung memang tak ke mana, kalau mau ke mana, kena buat usaha atas iman dan berdoa banyak. pertolongan tu sungguh memang milik Allah. nabi dulu pun sebelum dapat madinah tak pernah pulak bercakap soal politik dengan para sahabat. hanya tentang dakwah semata.




No comments: