Sunday, June 22, 2008

anTara duA cInta

Petang yang santai. Nyaman. Berjalan bersama kelabu memang menyeronokkan. Menuruni lembah, jauh dari persekitaran yang tercemar dan sesak. Selesa dengan kehijauan flora dan keunikan fauna. Macam-macam ada.

Menyusur tepian kolam buatan di satu sudut taman yang dipenuhi dengan ikan kap jepun, juga mengikuti aliran sungai untuk ke air terjun di hujung taman amat mengasyikkan. Tak ketinggalan melalui pancuran buatan yang terletak di tengah-tengah taman, terpesona dengan keindahan taman yang sudah sekian lama tidak dijengah. Dah banyak yang berubah. Lebih banyak pohonan hijau rendang menghiasi kiri kanan laluan pejalan kaki. Anggerik dan paku pakis bergantungan sepanjang pagar, yang turut dilingkari seri pagi.

Kelabu turut senang dengan pemandangan sekitanya. Berlari-lari mengejar bola kecil dan kadang-kadang berguling di atas rumput. berharap untuk pulang sebelum lewat petang, sebelum matahari berlabuh pergi. Sedang leka melepas penat di atas kerusi kayu sambil memerhati manusia yang berlalu pergi, tiba-tiba kelabu menghilang dicelah-celah kaki manusia yang lalu lalang. Bimbang jika dibiar jauh akan tersesat, digagahi juga untuk mengikut jejak kelabu walaupun lambat. Hingga akhirnya kelabu berhenti di pohonan rendang berdekatan buaian, dengan seorang anak kecil sedang diayun oleh seorang tua.

Dia hanya menjadi pemerhati, melihat dari jauh kelibat dua beranak itu. Ingin berlalu pergi, namun nasihat si datuk kepada cucunya menyebabkan dia membatalkan niatnya. Sambil mengendong kelabu, dia beralih untuk duduk berdekatan dengan pagola. Mendengar butir bicara yang penuh hikmah lagi bijaksana. Semoga dirinya juga akan beroleh manfaat.

‘ ada dua cinta paling utama dalam diri manusia, yang mana satu akan melebihi yang lain. Macam dua orang yang bergaduh. Masing-masing akan cuba mengatasi yang lain. Tak pernah dan tak kan timbul soal sama rata. Yang ada hanya kalah atau menang. Dalam merebut secebis ruang dalam hati manusia. Kerana selamanya, seorang anak adam itu tak akan bisa mengumpul dua cinta, dalam satu-satu masa.’ Terang si atuk kepada cucunya, sambil tangan mengusap perlahan kepala si cucu yang telah pun berhenti dari berbuai.

Kedengaran cucunya seakan bertanya sesuatu. Kemudian si atuk menjawab, ‘dua cinta itu adalah cinta pada Allah dan cinta dunia. Tak kan bisa keduanya bercampur gaul sebati. Betul, kita perlu kepada dunia sebagai sebab untuk kita mengerjakan amal. Dengan kata lain, dunia hanyalah sebagai tempat untuk kita berbuat baik, sekadar mencari bekalan, buat kehidupan selepas mati. Tapi kita tak hidup untuk dunia, merasai segala kemanisan dunia yang melalaikan dan tenggelam di dalamnya tanpa sempat mencari jalan pulang.’

Si cucu kelihatan termenung panjang, merasakan diri seakan sukar untuk difahami, si atuk menyambung, ‘ dunia ibarat baja, dan akhirat adalah benih yang bakal disemai, mudah-mudahan tumbuh sebagai pohon yang merimbun.’ Mata tuanya merenung sekeliling taman yang penuh dengan pohonan hijau dan bungaan aneka warna. ‘ macam mana aidil nak tanam bunga?’

Si cucu merenung si atuk, mungkin cuba mengingat kembali bagaimana ibunya menanam bunga di rumah. ‘ ambik tanah, korek, letak pokok, ambik balik tanah tutup akar dia. Lepas tu, mak siram air petang-petang dengan mak letak baja bila sampai hari ahad’ petah si anak kecil menjawab. Si atuk menjatuhkan pandangan pada si cucu, ‘ macam tu jugak la kehidupan kat dunia ni. Akhirat tu macam pokok yang kita nak tanam, kita siram dia setiap hari dengan perbuatan-perbuatan yang baik, yang Allah suka, nanti lama-lama dia akan tumbuh dan membesar dengan sihat, macam pokok yang aidil nampak kat depan tu’ si atuk menunjuk ibu jarinya ke arah hadapan mereka. ‘ dunia adalah bajanya, pokok kene letak baja supaya dia dapat makanan, akhirat jugak perlukan dunia sebagai tempat untuk mengumpul bekalan. Bekalan yang berupa pahala dan amal ibadah, kita kumpul banyak-banyak, nanti diharap kita dapat melihat hasil yang baik di akhirat kelak. Hasil dari penjagaan kita kat pokok akhirat, semoga beroleh syurga dan rahmat serta kasih sayang Allah yang berterusan.’

Berhenti, menghela nafas seketika, ‘tapi bukan senang tau aidil nak jaga pokok akhirat ni, macam pokok bunga yang mak aidil tanam, tak boleh sembarangan aje nak letak baja, kalau letak banyak sangat, nanti mati pulak. kalau tak letak langsung atau letak sikit sangat, pun nanti layu. Kalau kita terlalu mengejar seronoknya dunia, kita akan lalai, leka dan dilupakan oleh dunia terhadap kehidupan kita yang sebenar, iaitu di akhirat. Terlalu suka dengan pangkat (baca:GIla PANGkat), nak dikenali (baca:gila glamour), nak kumpul harta bebanyak supaya dapat jadi orang terkaya kat dunia (baca: materialistic), nak beli kereta, rumah, baju yang mahal-mahal walaupun tak perlu. (baca: membazir). Berhias diri supaya orang puji cantik dan tergoda dengan kita, atau dengan riang gembira bercampur gaul lelaki perempuan tanpa tujuan, tanpa batas Islam, tu semua dibimbangi merosakkan pokok akhirat yang kita semai. Nanti sia-sia je kita tanam pokok, kalau akhirnya mati macam tu aje, hanya sebab kita terlebih letak baja. Hanya sebab kita terlalu cinta pada dunia, nanti sape-sape yang suka sangat dengan dunia akan dapat satu penyakit. Aidil nak tau ape?’ si kecil mengangguk laju, mungkin dengan tahap imaginasinya, membayangkan sakit demam, batuk atau selesema. ‘sakit wahan aidil, penyakit cinta dunia dan takut mati.’

macam tu jugak kalau letak sikit atau tak letak baja langsung, tinggalkan dunia tanpa mengambil yang baik daripadanya. Hanya duduk di masjid atau beribadah seorang diri tanpa peduli masalah ummat, hanya fikir dirinya sahaja, merasakan itu sudah cukup, amalannya sudah sempurna dan dia sudah hebat. sudahnya bila nampak kemungkaran dikhuatiri akan ditegur, namun bukan secara hikmah, bahkan semakin menjauhkan si pendosa dari kebenaran, hanya memandang kesalahan orang, seakan terlindung dari melihat kesalahan sendiri. Akhirnya pohon akhirat yang ditanam layu kerana kesilapan kita yang merasakan baja yang diberi sudah mencukupi, tapi sebenarnya tidak, merasa iman sudah mantap tapi sebenarnya ri’ak dan sekadar diri sendiri sahaja yang perasan bagus. Terlupa untuk menggunakan dunia, untuk sebarkan Islam, menasihati dan mengajak manusia berbuat baik dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang jahat (baca: berdakwah).’

‘susah ye atuk nak jaga pokok yang atuk cakap ni. Aidil tak tau lah macam mane nak mula’ anak kecil tu akhirnya bersuara setelah lama berdiam diri dan setakat mendengar. ‘ memang susah aidil, atuk yang dah tua pun selalu tertipu dan terkandas dengan dunia. Atuk berharap agar atuk selalu dapat bersolat awal dan berjemaah di rumah Allah, tetap hati dalam berdakwah dan paling utama agar terhindar dari syirik dan ri’ak. Ri’ak macam api yang membakar kayu, menghapus amalan baik sampai menjadi debu. Syirik pulak satu dosa yang selamanya tak kan diampun oleh Allah, padahal kemaafan dan rahmat kasih sayang dari Allah amat atuk perlukan supaya hidup atuk senang kat akhirat nanti.’

Si atuk meraih tangan kecil si cucu. Mengajak pulang kerana hari semakin gelap. Dia juga sudah mula mengankat punggung dengan tangan tetap memegang kelabu dan sebelah lagi tangan pantas mengutip bola kecil, mainan si kelabu.. Sebelum dia berangkat pulang, kedengaran dari jauh kata-kata akhir si atuk sebelum mereka menghilang dari pandangan, ‘ Aidil masih muda, jangan sia-siakan hidup aidil. Jauhi perbuatan yang tak baik, sebab dosa itu akan menghantui kita terutama bila kita semakin menghampiri kemaatian.’

Selamat hari ayah kepada semua lelaki yang mempunyai anak.

Apa yang ada jarang disyukuri

Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan...
leraikanlah dunia

Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintaMu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh

Sunday, June 15, 2008

dIA jawaB

‘What’s the point of having a religion when in the end it's all up to GOD to decide our final destination (either hell or paradise)?’-he said.

‘if it’s so true, then what’s the point of studying and burning the midnight oil when in the end it’s all up to HIM to decide our end-of-sem result (flying colors or gray area)?’-she said.

Semuanya kerana harapan. Pepatah melayu, ‘pantang menyerah sebelum ajal’. Bermati-matian berjuang sebelum tahu akan apa yang menunggu di sebuah pengakhiran. Itu yang diinginkan. menginginkan ganjaran hanya daripada Nya, atas usaha yang tak seberapa. Kita bukan yang menetapkan, tapi sekadar cuba-cuba untuk merancang. Kepada Nya jua kembali segala harapan.

Harapan bagi seorang ibu

untuk melahirkan anak yang dikandungnya dengan selamat. Tersenyum melihat telatah si anak mula bertatih dan menyebut huruf. Melayan manjanya keletah anak dalam tawa dan tangisan, yang baru mengenal dunia. Itu adalah impian dan harapan seorang ibu. Dia tidak tahu apakah yang bakal dihadapinya saat anak itu lahir, akan sempurnakah setiap anggota? Akan terhindarkah dari segala macam penyakit dan kecacatan? Akan selamatkah di saat kelahiran? Lupa dia akan nyawa sendiri yang bisa tergadai. Semua harapan dan impian disandarkan kepada Allah. Hanya pada Nya tempat bergantung harap dan berserah.

Harapan bagi seorang ayah

Untuk melihat si ibu dan anak selamat. Mendengar khabar yang menggembirakan dari doctor yang bertugas. Mengazan atau mengiqamahkan anak yang baru lahir ke dunia. Berusaha dan bekerja untuk sesuap nasi dan belanja harian keluarganya. Berusaha untuk memberi yang terbaik bagi mereka. Itu adalah cita-cita si ayah, walau dia tak punya pengetahuan akan hari depan mereka sekeluarga. Akan cukupkah makan minum dan pakaian mereka sekeluarga. Akan stabilkah kewangan mereka kelak bila anak- anak membesar menginjak dewasa, bagaimana dengan biaya sakit pening dan pelajaran mereka. Si ayah tak punya jawapan pada semua persoalan, tapi si ayah punya harapan. Dan dia menggantungkan harapan dan impiannya kepada sebaik-baik tempat bergantung.

Harapan bagi si anak

Agar disayangi, diberi sepenuh perhatian dan dimanja. Supaya hari-harinya penuh makna dan ketemu bahagia. Dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan belaian, juga disempurnakan dengan didikan akhlak dan iman. Semoga kelak, apabila dewasa dapat berbakti kepada orang tua dan membuat mereka gembira. Menjadi anak yang taat dan mendoakan mereka. Si anak tak kan tahu apa yang bakal terjadi. Sempatkah orang tuanya merasa kesenangan yang bakal diperoleh? Apa, masih punya waktu untuk melihat si anak menggenggam segulung ijazah dan menabur bakti? Berapa lamakah masa yang ada sebelum mereka menutup mata, jua apakah sempat untuk si anak memohon sebuah kemaafan? Sudah semestinya si anak tak bisa mengetahui perkara yang mendatang namun si anak dengan segala usaha dan hidupnya disandarkan pada Allah agar suatu hari nanti bisa dia memberi kebahagiaan buat mereka walau seketika, walau hati merintih meminta untuk selamanya.

Harapan bagi seorang guru

Melihat anak muridnya berjaya. Mengajarkan ilmu tanpa jemu kepada sekecil-kecil anak yang hanya bisa menutur sepatah dua kata di tadika hinggalah
kepada yang sudah berumah tangga dan berkeluarga di menara gading. Mendidik dengan penuh kesungguhan agar si anak muridnya bisa menjadi seorang yang berguna, menyebar ilmu yang pernah dicurah kepada yang memerlukan lantas berbudi kepada anak bangsa. Namun, guru jua manusia biasa yang tak punya sebarang kuasa untuk mengubah seorang manusia. Juga tak punya pengetahuan letak duduknya kehidupan yang bakal dijengah oleh anak muridnya. Guru hanya bisa mencuba, memberi kepada yang ingin menerima dan selebihnya kepada Dia juga segala penyerahan dan pengabdian.

Harapan bagi seorang pelajar

Ingin cemerlang dalam pelajaran. Bukan sahaja untuk masa depannya, jua untuk mereka yang tersayang. Ingin membalas budi pada mereka yang sudi menunjuk jalan. Ingin agar sentiasa diajar dengan penuh belas ihsan, juga asuhan yang membina, bukan sahaja pada akal bahkan pada tingkah laku dan pekerti. Dia tak kan pernah dapat menduga jalan yang bakal dilalui, apakah sebagai seorang yang tewas atau berjaya. Juga tak dapat menjangka pengertian sebuah perhatian yang diberi oleh gurunya, entah apakah sekadar hanya pada akademik atau menyeluruh sebagai seorang insan. Tidak juga dia mahu dibanding beza dengan yang lain, kalau cuma sekadar hiasan di papan kenyataan atau sekadar laporan. Dia hanya berharap dan bergantung pada Nya, setelah mencuba untuk berusaha.

Harapan para pejuang di jalan Nya

Bukan mudah, untuk mengajak manusia, lebih-lebih lagi ke arah kebajikan, ditambah pula dengan ajakan, menghindari segala kejahatan. Tak senang walau seketika. Kerana untuk memanggil manusia mengingati Nya, perlu kepada daya usaha yang berterusan, (bak kata orang kampung :istiqamah), berpenat lelah namun sedia untuk tersenyum pada yang tidak mengerti, bersabar kepada yang suka mencaci, dan memaafkan setiap umpat keji. Mencari diri dalam berbakti, supaya diri dipandang tinggi di sisi Nya. Berkhidmat tanpa balasan, mencari pengertian sebuah keikhlasan. Semoga ketemu sebuah pengakhiran. Pengakhiran yang baik, bersama para pencinta Nya. Agar ditakdirkan mati hanya pada jalan Nya.

Harapan seorang dia

Maka, jika semua makhluk bisa punya harapan, impian dan cita-cita, salahkah untuk si dia yang melafaz syahadah, bersaksi punya satu Tuhan dan itu adalah Allah, Muhammad pula adalah pesuruh Nya, untuk turut sama bersandar pada tempat bergantung yang terbaik? Memang dia tak punya ilham tentang amalannya yang lepas, diterima atau ditolak. Tak juga dia tahu akan tahap iman dan islamnya kelak, masih di bawah atau beroleh hikmah. Juga dia tak punya ilmu akan akhir kehidupannya, di mana destinasi sebenar, menerima buku amalan di kiri atau di kanan tangan. Amalan ibadah juga solatnya masih jauh di takuk lama, tak kan bisa setanding kekasih-kekasih Nya. Namun, selagi mata masih bisa dibuka, nafas masih bisa dirasa dan degupan jantung masih kedengaran, sebolehnya dia mahu berusaha, mengejar rahmat dan reda dari Nya. Sampai ke akhirnya, kerna itu adalah tanggungjawab dan tugasnya sebagai makhluk yang hina dan hamba kepada sebaik-baik tempat untuk bergantung. Tak kan bisa dia curang dan menduakan Tuhan nya, kerana hanya Dia sebaik-baik tempat kembali.

Semuanya kerana harapan, harapan membuahkan cinta, dan cinta....akan membawanya kembali, ke jalan Nya.

He did asked, above is her 2-cent answer. Tq


oh Tuhanku
yang slalu kuserukan dalam doa selamanya
seumur hidupku
dan napasku
yang slalu kuhirup di setiap waktu
hanya pada-Mu
kupasrahkan hidupku
di bawah langit biru
kusebutkan nama-Mu
karena ku tahu
Engkau lah Tuhanku
di bawah rumput hijau
ku bersujud pada Mu
karena ku tahu
akulah hamba-Mu ya Allah
~ungu~

Friday, June 6, 2008

bIrds thAt fLy

Pintu kedengaran seakan dihentak. Kasar dan keras bunyinya. Konsentrasi terganggu dan mata segera mencari kelibat empunya diri yang sedikit terselindung di balik tiang yang terletak di bahagian sisi pintu masuk. Kepalanya di tinggikan, meninjau si kecil yang sedang menjeruk muka. Masam dan kelat, tanpa senyuman.

Remote diletak di sisinya, di atas couch. Tv yang terpasang dibiarkan, berlalu begitu sahaja ke dapur. Mengeluarkan dari dalam tudung saji, karipap yang masih panas, yang baru saja digoreng sementelah menunggu anak kecil itu pulang dari sekolah. Kemudian, dia beralih ke arah peti sejuk, mengeluarkan jus mangga yang masih sejuk.


Mencapai gelas di atas rak, meletak ke dalam dulang sebelum diletakkan di atas meja di ruang tamu. Sambil mata memandang sekilas si kecil yang masih monyok. Bibir cuba untuk menahan dari tersenyum, kerana sedar, kanak-kanak hanyalah manusia kecil yang masih suci, tak pernah bersalah dan masih baru dalam menapak di atas muka bumi ini. Si kecik tak pernah menipu dan tak akan berjaya untuk menipu, ternyata perhatian anak itu sedikit bertumpu pada makanan dan jus yang sedia terhidang di atas meja kaca bujur itu.

‘haa, ape yang pia intai-intai tu, meh makan. Nenek penat- penat masak untuk cucu sulung kesayangan dia sorang ni.’ Bibir mengukir senyum memancing anak kecil yang masih diam membantu tanpa sepatah jawapan. ‘nenek mane?’ not bad, moody pun masih boleh tanya tentang nenek kesayangan. ‘pia tak ingat ke? Hari ni kan hari khamis, nenek pi masjid kejap, belajar Quran. Pia makan dulu, meh. Nanti kejap lagi nenek balik la.’


Anak kecil itu sekadar menggeleng. Jual mahal, ‘pia kalau refused to eat these karipap, mak cik irah boleh habiskan, tak de hal punye. Cume kesian je kat nenek yang dari awal petang lagi dah kelim karipap untuk cucu dia sebelum pi masjid. Nanti kalau nenek tanya, mak cik irah jawab pia tak lalu nak makan, sentuh pun tak apa yang nenek masak ni’ balasnye sambil mengangkat kening.

Dengan berat langkah, pia masuk ke dalam bilik. Sebentar kemudia, dengan uniform yang sudah ditanggalkan dan diganti tee dan skirt, pia melangkah ke arahnya yang masih duduk menonton skrin di hadapan. Berpura-pura tak kisah dengan kehadiran pia. Pia melabuh punggung di sebelahnya. Memandangnya sejenak sebelum mengankat tangan cuba untuk mengambil karipap yang masih panas di dalam pinggan. ‘uik, ni dah basuh tangan ke ni?’ dia menyoal, lebih kepada menyakat. ‘dah’jawapan ringkas sebelum karipap dibawa pia ke mulutnya. ‘pia kenapa ni?muram je mak cik tengok. Pia gaduh dengan kawan ek?’ cuba memancing memulakan perbualan.

Pia hanya diam, termenung sambil mulut menguyah perlahan karipap di dalam mulut. ‘pia tak dapat nombor satu dalam kelas, nenek cakap, kalau pia dapat nombor satu, nanti nenek nak belikan pia hadiah,’ ish emak ni, janji macam-macam kat cucu kesayangan dia. Time dia kecik dulu, tak de pulak mak janji macam-macam. ‘macam tu ke?’ mengangkat pia ke atas ribanya. Nasib baik tak berat. Tangan sebelah mencapai remote dan menekan butang off. Sebelah lagi menuang jus ke dalam gelas kosong di hadapannya untuk pia. ‘meh mak cik cerita satu kisah kat pia ek, tak mo sedih-sedih lagi. Nanti nenek balik pia cakapla bebaik dengan nenek, mesti nenek kasik pia hadiah jugak, ok?’


Pia takat mengangguk perlahan sambil tangannya mengacah cuba mencapai satu lagi karipap di dalam pinggan. Matanya memandang ke luar memerhati burung yang berterbangan dalam kawanan. ‘ape pia buat supaya pia boleh dapat nombor satu?’ ‘pia study la mak cik irah. Baca buku, mama pun ada hantar pia pi tuition kat kelas cikgu zura’. Dia merenung anak itu, dengan kasihan. Penat melihat rutin harian yang jauh beza dari zamannya. ‘pia kan dah study, yang penting kita usaha, dapat ke, tak dapat ke nombor satu, tu belakang kira. Yang penting kalau pia dah study, tak main-main time belajar, mak cik dah rasa happy. Nanti kalau nenek tak mau beli hadiah untuk pia, mak cik will buy you one. Jangan sedih- sedih tau. Muka pia buruk tau, kalau masam-masam,’ senyum menyakat. Pia yang baru nak riang ria berubah rentak. Menjegil mata sebelum mengambil satu lagi karipap di pinggan.

‘pia ni, typical betullah. Kalau depressed je makan, depressed je makan.’dengan gelak yang tak dapat nak cover. Pia mendengus, cuba bangun tapi dihalang. ‘ok, tak mau usik dah,’ mula berubah tone, ‘pia pernah dengar tak nenek selalu cakap, kita merancang Allah yang menentukan?’ terdiam sambil menunggu respon dari pia. Pia setakat mengangguk. ‘jadi, pia kene faham. Ada sesetengah perkara yang pia dah buat bebetul, by the book, tapi pia kene ingat yang pia bukannye the absolute power yang determines the end result. Ada satu kuasa yang sangat kuat yang determine the end result of everyone’s hard work. Cuba pia teka, sape?’

‘ermmm, Allah. Mama cakap, Allah yang Maha Berkuasa. Kalau Allah cakap jadi, maka jadilah bende tu,’ ‘pandai pun dia’ sambil mencuit hidung pia. Pia cuba mengelak tapi dia lebih pantas. ‘pia dapat nombor satu last time, sape yang menentukan?’ ‘Allah,’ ‘therefore, for this time?’ ‘Allah la jugak maik cik irah,’ ‘hurm, tau pun. Jadi semua dalam kekuasaan Nya. Apa-apa pun Dia yang menentukan. Pia dah berusaha dan selebihnya pia serahkan pada Allah. Pia dah doakan, every time after prayer?’ ‘ dah, pia doa supaya pia boleh dapat tempat pertama. Mama ade jugak suruh pia doa supaya dapat masuk syurga dan supaya pia dapat jadi anak yang solehah’

‘kalau macam tu, pia tak perlu risau. Lepas dah usaha, pia belajar betul-betul, pia doa banyak-banyak. Yang lebihnye, pia serah aje kat Allah. Tapi pia mesti doa dengan penuh mengharap dan tak putus asa. Allah suka dekat hamba Nya yang datang mengadu dan mengharap hanya kat Dia aje.’ Pia termenung, barangkali cuba untuk menghadam apa yang dikatakannya. ‘tapi, kenapa pia dah doa banyak-banyak pun Allah tak kasik pia nombor satu jugak?’ pia merenung tepat ke matanya, seakan meminta jawapan yang bisa anak itu fahami.

‘owh. Pia, nikmat Allah amat banyak. Tapi nikmat dunia tu bukannya the ultimate factor yang menentukan kasih sayang Allah terhadap kita. Mungkin pia ingat, kalau Allah sayang dekat pia, bile pia mintak nak dapat nombor satu dengan doa banyak-banyak, maka Allah akan kabulkan. Dan mungkin pia ingat kalau Allah tak sayang, Allah tak kabulkan. Pia kena ingat, nikmat yang Allah beri tu adalah untuk menguji pia, makcik, mama, nenek dan semua orang yang mengaku diri mereka beriman. Kalau Allah tak kasi nikmat jugak adalah ujian. Allah bagi exam dekat kita, supaya kita tau dah sampai mana kita yakin dekat Allah. Kita yakin banyak ke atau kita sikit je yang kita yakin dekat Allah’ dia menghela nafas, sambil mata merenung pia yang kelihatan sukar untuk menafsir segala yang tersirat dan tersurat.

‘kira macam ni pia, for example: Allah sayang Nabi dan ahlul bait jugak sahabat. Salah ke betul?’ pia melulu menjawab, ‘mestilah sayang, sebab Muhammad kan kekasih Allah..’ ‘and my point is, Allah does love Muhammad, His final prophet yang diutus untuk ummat akhir zaman iaitu untuk kita semua. tapi walau kasih sayang Allah untuk Muhammad sangat banyak melebihi hamba Nya yang lain, Muhammad tetap diuji malahan lebih teruk lagi sama ade diuji dengan tohmahan dan caci maki penduduk mekah, kemudian dipulaukan oleh kaum musyrikin mekah, digelar gila dan dibaling najis sewaktu Muhammad datang menyerahkan diri menghadap Allah dalam solat.

Pia dah lupa ke cerita betapa sedihnya Fatimah melihat keadaan ayahnya yang keluar rumah dalam keadaan bersih tapi bila balik pakaian Muhammad menjadi kotor, atau pia masih ingatkan betapa tak bertimbang rasanya penduduk thaif yang melempar batu kepada Muhammad hingga Baginda luka berdarah, atau semangat muslimin yang berjihad dengan bekalan yang terhad, bilangan yang sedikit dan perut yang kelaparan dalam perang badar yang diadakan dalam bulan puasa. Apa pia agak Allah dah tak sayang kat diorang ke maka Allah kasik diorang macam-macam kesusahan?’ pia dilihat termenung, sambil matanya terpejam, mungkin mencari sebuah logika.

‘sebab Allah sayang kat dioranglah Allah uji. Supaya diorang terusan merayu dan berharap hanya pada Allah. Hanya meletakkan pergantungan, hidup dan mati kepada Nya. Bila kita diuji, contohnya mak cik, mak cik akan rasa lemah, risau, can’t think straight, mak cik mula carik sesiapa yang boleh tolong mak cik. Tengok sekeliling, tapi kemudian mak cik mula sedar yang semua orang pun ada masalah jugak, diorang pun struggle to survive, sedar yang diorang pun sama macam mak cik, lemah dan masih tercari-cari penyelesaian, tak kan nak serabutkan keadaan diorang lagi, makanya mak cik akan mencari pergantungan yang kekal dan abadi. Maka bila dah susah dan dalam sedih, mak cik akan datang kepada Allah, mengadu pada Nya semua masalah mak cik, sebab mak cik dah tak de tempat mengadu yang dapat selesaikan masalah mak cik. Hanya Dia, satu dan yang utama. bila mengadu kat Allah, hati akan jadi tenang, mak cik akan rasa seronok sebab rasa dah tenang. Maka mak cik akan lebih-lebih lagi nak berada dekat dengan Allah. Yakin dengan ketentuan Nya.

Tapi mak cik tak kuat, lama kelamaan bila dah lepas daripada satu masalah, mak cik akan mula alpa, lupa pada Allah, sebab hidup senang, tak ade masalah. Seronok dengan family, friends, study, hobbies dan macam-macam lagi. Mak cik lupakan Allah dan iman pun menjadi lemah, malas nak lelama atas sejadah, malas nak doa panjang-panjang, cepat-cepat nak habis solat, solat lambat dan banyak tinggal benda-benda sunnah. Tapi Allah Maha Penyayang. Dia tak tinggalkan mak cik seorang, hanyut, maka Dia datangkan satu lagi ujian, supaya mak cik tersentak dari lena yang panjang, tersedar dari kealpaan dan mencari kembali apa yang hilang, mencari sebuah pergantungan dan ingin kembali berada hampir dengan Allah. Iman manusia ada turun dan naiknya. Buat kita berfikir dah sampai mana keyakinan kita pada Nya..’

mata cuba mengamati reaksi pia. Pia pulak mencapai satu lagi karipap. Masih menikmati masakan neneknya. ‘kalau pia tak dapat nombor satu, kira itu ujian untuk pia la ek’ pia tiba-tiba bersuara dengan muka yang seolah-olah berfikir panjang. ‘mungkin ujian buat pia, setakat mana pia percaya akan apa yang Dia tentukan untuk pia. Jangan risau, dengan izin Allah pia ada dekat dunia ni, tentulah Dia dah menetapkan rezeki pia yang semuanya sebenarnya yang terbaik untuk pia, Cuma pia kena cari tang mana baiknya itu, ambil pengajaran dan peringatan. Itulah namanya hikmah.’ Berhenti sekejap, mata merenung ke luar, melihat kawanan burung lewat petang beterbangan pulang ke sarang.

Mata kembali dikalih ke arah pia, ‘pia tengok burung-burung tu. Diorang tak ade akal, tapi diorang ade pergantungan yang tinggi pada Allah, maka diorang keluar dari sarang dengan perut yang kosong di waktu pagi, mengharap cebisan kasih dan simpati dari Allah untuk mereka dan anak-anak burung yang menungu di sarang dan menjalang petang, diorang akan pulang dengan perut yang penuh. Itulah rezeki, yang telah Allah sediakan untuk setiap hamba Nya dan apa yang dapat dilihat pada burung itu pula adalah sebuah pergantungan, bergantung pada Allah sebagai yang Maha Memberi rezeki, lepas berusaha sepanjang hari mencarik makanan bukan takat untuk diri sendiri tapi jugak untuk anak-anak burung yang baru belajar untuk menikmati alam. Kalau kita ada keyakinan yang tinggi pada Nya, kita tak pernah nak melatah, bersungut atau mengeluh bila berhadapan dengan segala macam dugaan, kerana kita yakin, kita hanya seorang pencari makanan, tapi selamanya bukan yang Memberi makanan.”

Pia menghabiskan karipap yang terakhir di pinggan. Terdiam sebentar sebelum dengan perlahan tersenyum. ‘jadi, nak sedih-sedih lagi tak?’ dia bertanya dengan senyum lebar. ‘tak, dah tak sedih dah.’ Pia menjawab dengan senyuman. Kedengaran di luar suara memberi salam. ‘kalau tak sedih dah, mak cik nak kasik tugas. Pia pi bukak pintu ek, nenek dah balik.’ Dia berkata selamba lalu mengangkat pinggan kosong dan gelas ke dalam dulang sebelum berangkat ke dapur. Bersegera kerana sebentar lagi waktu maghrib akan menyusul, tanda masanya untuk menghadap Ilahi, yang Maha Memberi Rezeki...

dari Umar al khatab r.a, Nabi saw bersabda yang bermaksud;
"Kalaulah kamu betul-betul bertawakal kepada Allah, nescaya kamu mendapat rezeki yang memuaskan, sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung, ia terbang pada waktu pagi dengan perut kosong, manakala apabila pulang pada waktu petang dengan perut kenyang"
-Ahmad, An-Nasaa’I, Ibn Majah, Al-Hakim and At-Tirmidhi mengatakan 'hasan sahih'-