Sunday, June 22, 2008

anTara duA cInta

Petang yang santai. Nyaman. Berjalan bersama kelabu memang menyeronokkan. Menuruni lembah, jauh dari persekitaran yang tercemar dan sesak. Selesa dengan kehijauan flora dan keunikan fauna. Macam-macam ada.

Menyusur tepian kolam buatan di satu sudut taman yang dipenuhi dengan ikan kap jepun, juga mengikuti aliran sungai untuk ke air terjun di hujung taman amat mengasyikkan. Tak ketinggalan melalui pancuran buatan yang terletak di tengah-tengah taman, terpesona dengan keindahan taman yang sudah sekian lama tidak dijengah. Dah banyak yang berubah. Lebih banyak pohonan hijau rendang menghiasi kiri kanan laluan pejalan kaki. Anggerik dan paku pakis bergantungan sepanjang pagar, yang turut dilingkari seri pagi.

Kelabu turut senang dengan pemandangan sekitanya. Berlari-lari mengejar bola kecil dan kadang-kadang berguling di atas rumput. berharap untuk pulang sebelum lewat petang, sebelum matahari berlabuh pergi. Sedang leka melepas penat di atas kerusi kayu sambil memerhati manusia yang berlalu pergi, tiba-tiba kelabu menghilang dicelah-celah kaki manusia yang lalu lalang. Bimbang jika dibiar jauh akan tersesat, digagahi juga untuk mengikut jejak kelabu walaupun lambat. Hingga akhirnya kelabu berhenti di pohonan rendang berdekatan buaian, dengan seorang anak kecil sedang diayun oleh seorang tua.

Dia hanya menjadi pemerhati, melihat dari jauh kelibat dua beranak itu. Ingin berlalu pergi, namun nasihat si datuk kepada cucunya menyebabkan dia membatalkan niatnya. Sambil mengendong kelabu, dia beralih untuk duduk berdekatan dengan pagola. Mendengar butir bicara yang penuh hikmah lagi bijaksana. Semoga dirinya juga akan beroleh manfaat.

‘ ada dua cinta paling utama dalam diri manusia, yang mana satu akan melebihi yang lain. Macam dua orang yang bergaduh. Masing-masing akan cuba mengatasi yang lain. Tak pernah dan tak kan timbul soal sama rata. Yang ada hanya kalah atau menang. Dalam merebut secebis ruang dalam hati manusia. Kerana selamanya, seorang anak adam itu tak akan bisa mengumpul dua cinta, dalam satu-satu masa.’ Terang si atuk kepada cucunya, sambil tangan mengusap perlahan kepala si cucu yang telah pun berhenti dari berbuai.

Kedengaran cucunya seakan bertanya sesuatu. Kemudian si atuk menjawab, ‘dua cinta itu adalah cinta pada Allah dan cinta dunia. Tak kan bisa keduanya bercampur gaul sebati. Betul, kita perlu kepada dunia sebagai sebab untuk kita mengerjakan amal. Dengan kata lain, dunia hanyalah sebagai tempat untuk kita berbuat baik, sekadar mencari bekalan, buat kehidupan selepas mati. Tapi kita tak hidup untuk dunia, merasai segala kemanisan dunia yang melalaikan dan tenggelam di dalamnya tanpa sempat mencari jalan pulang.’

Si cucu kelihatan termenung panjang, merasakan diri seakan sukar untuk difahami, si atuk menyambung, ‘ dunia ibarat baja, dan akhirat adalah benih yang bakal disemai, mudah-mudahan tumbuh sebagai pohon yang merimbun.’ Mata tuanya merenung sekeliling taman yang penuh dengan pohonan hijau dan bungaan aneka warna. ‘ macam mana aidil nak tanam bunga?’

Si cucu merenung si atuk, mungkin cuba mengingat kembali bagaimana ibunya menanam bunga di rumah. ‘ ambik tanah, korek, letak pokok, ambik balik tanah tutup akar dia. Lepas tu, mak siram air petang-petang dengan mak letak baja bila sampai hari ahad’ petah si anak kecil menjawab. Si atuk menjatuhkan pandangan pada si cucu, ‘ macam tu jugak la kehidupan kat dunia ni. Akhirat tu macam pokok yang kita nak tanam, kita siram dia setiap hari dengan perbuatan-perbuatan yang baik, yang Allah suka, nanti lama-lama dia akan tumbuh dan membesar dengan sihat, macam pokok yang aidil nampak kat depan tu’ si atuk menunjuk ibu jarinya ke arah hadapan mereka. ‘ dunia adalah bajanya, pokok kene letak baja supaya dia dapat makanan, akhirat jugak perlukan dunia sebagai tempat untuk mengumpul bekalan. Bekalan yang berupa pahala dan amal ibadah, kita kumpul banyak-banyak, nanti diharap kita dapat melihat hasil yang baik di akhirat kelak. Hasil dari penjagaan kita kat pokok akhirat, semoga beroleh syurga dan rahmat serta kasih sayang Allah yang berterusan.’

Berhenti, menghela nafas seketika, ‘tapi bukan senang tau aidil nak jaga pokok akhirat ni, macam pokok bunga yang mak aidil tanam, tak boleh sembarangan aje nak letak baja, kalau letak banyak sangat, nanti mati pulak. kalau tak letak langsung atau letak sikit sangat, pun nanti layu. Kalau kita terlalu mengejar seronoknya dunia, kita akan lalai, leka dan dilupakan oleh dunia terhadap kehidupan kita yang sebenar, iaitu di akhirat. Terlalu suka dengan pangkat (baca:GIla PANGkat), nak dikenali (baca:gila glamour), nak kumpul harta bebanyak supaya dapat jadi orang terkaya kat dunia (baca: materialistic), nak beli kereta, rumah, baju yang mahal-mahal walaupun tak perlu. (baca: membazir). Berhias diri supaya orang puji cantik dan tergoda dengan kita, atau dengan riang gembira bercampur gaul lelaki perempuan tanpa tujuan, tanpa batas Islam, tu semua dibimbangi merosakkan pokok akhirat yang kita semai. Nanti sia-sia je kita tanam pokok, kalau akhirnya mati macam tu aje, hanya sebab kita terlebih letak baja. Hanya sebab kita terlalu cinta pada dunia, nanti sape-sape yang suka sangat dengan dunia akan dapat satu penyakit. Aidil nak tau ape?’ si kecil mengangguk laju, mungkin dengan tahap imaginasinya, membayangkan sakit demam, batuk atau selesema. ‘sakit wahan aidil, penyakit cinta dunia dan takut mati.’

macam tu jugak kalau letak sikit atau tak letak baja langsung, tinggalkan dunia tanpa mengambil yang baik daripadanya. Hanya duduk di masjid atau beribadah seorang diri tanpa peduli masalah ummat, hanya fikir dirinya sahaja, merasakan itu sudah cukup, amalannya sudah sempurna dan dia sudah hebat. sudahnya bila nampak kemungkaran dikhuatiri akan ditegur, namun bukan secara hikmah, bahkan semakin menjauhkan si pendosa dari kebenaran, hanya memandang kesalahan orang, seakan terlindung dari melihat kesalahan sendiri. Akhirnya pohon akhirat yang ditanam layu kerana kesilapan kita yang merasakan baja yang diberi sudah mencukupi, tapi sebenarnya tidak, merasa iman sudah mantap tapi sebenarnya ri’ak dan sekadar diri sendiri sahaja yang perasan bagus. Terlupa untuk menggunakan dunia, untuk sebarkan Islam, menasihati dan mengajak manusia berbuat baik dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang jahat (baca: berdakwah).’

‘susah ye atuk nak jaga pokok yang atuk cakap ni. Aidil tak tau lah macam mane nak mula’ anak kecil tu akhirnya bersuara setelah lama berdiam diri dan setakat mendengar. ‘ memang susah aidil, atuk yang dah tua pun selalu tertipu dan terkandas dengan dunia. Atuk berharap agar atuk selalu dapat bersolat awal dan berjemaah di rumah Allah, tetap hati dalam berdakwah dan paling utama agar terhindar dari syirik dan ri’ak. Ri’ak macam api yang membakar kayu, menghapus amalan baik sampai menjadi debu. Syirik pulak satu dosa yang selamanya tak kan diampun oleh Allah, padahal kemaafan dan rahmat kasih sayang dari Allah amat atuk perlukan supaya hidup atuk senang kat akhirat nanti.’

Si atuk meraih tangan kecil si cucu. Mengajak pulang kerana hari semakin gelap. Dia juga sudah mula mengankat punggung dengan tangan tetap memegang kelabu dan sebelah lagi tangan pantas mengutip bola kecil, mainan si kelabu.. Sebelum dia berangkat pulang, kedengaran dari jauh kata-kata akhir si atuk sebelum mereka menghilang dari pandangan, ‘ Aidil masih muda, jangan sia-siakan hidup aidil. Jauhi perbuatan yang tak baik, sebab dosa itu akan menghantui kita terutama bila kita semakin menghampiri kemaatian.’

Selamat hari ayah kepada semua lelaki yang mempunyai anak.

Apa yang ada jarang disyukuri

Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan...
leraikanlah dunia

Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintaMu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh