satu
dia membelek-belek surat khabar di tangan. Membaca pelbagai sites maupun web pages. Kerana dia benar mahu tau.benar merasa perlu. Maka dia mencari ilmu dan meneliti garis waktu. Menghayati derita ummat islam di sebuah negara yang suci. Menempat 3 agama samawi. Terletaknya sebuah rumah suci bergelar baitul maqdis. Menelek setiap gambar penuh derita. Menonton setiap video penuh sengsara. Kesal, sedih, marah, kecewa berbuku tanpa hadnya. Namun dia barangkali lupa. Kerana terlalu tenggelam dalam cubaan merasai perit payah susah rakyat yang berjuang, dia menjadi alpa. Quran sudah seolah dipinggir, lebih tertarik pada banyaknya blog-blog yang bercerita. Dan masa untuk membaca Quran seakan diguna untuk membaca catatan. Dan Quran yang merupakan kalamullah semakin dibiar, dipandang sepi. Mana mungkin kalam manusia menjadi pengubat jiwa dan pembakar semangat lebih daripada mukjizat yang diberi kepada Nabi?
Dua
Dia menunggu di depan tv. Bersantai sambil cuba menghargai masa bersama teman-teman serumah. Mendengar pelbagai cerita tentang dunia dan isinya. Nyata, ketika ini berita tentang kezaliman dan penindasan yang terhangat di pasaran. Masing – masing mengeluarkan hujah, petua, mencari doa, menderma mahupun mengumpat, mencaci juga melaknat si pengkhianat yang suka merebut-rebut dan menindas tanpa belas. Tidak kurang jua yang mengugut agar sentiasa disampaikan pesanan secara berantai dalam bentuk pemulauan barangan, kalungan doa, bacaan Quran dan nasihat sesama insan. Siapa yang tidak meneruskan rantaian, dianggap zalim, tidak prihatin, menderhaka terhadap agama dan akan ditimpa bala. Itu semua umpama doa. Tidak sedar yang didoa itu adalah seorang muslim yang berpaksi pada Tuhan yang satu, Muhammad utusan dari Nya.
Dalam dia senang bercerita dan mengutuk penuh semangat akan kekejaman dan ketidak adilan yang berlaku pada saudara – saudara di bawah satu agama, tidak sedar sudah banyak masa yang terbuang. Kata-katanya umpama angin yang berlalu, tiada membawa kesan kerana tiada tindakan. Dia terus dalam semangat berkobar yang dia pilih untuk menyalurkannya dengan mencaci dan memaki sehabis daya segala bentuk keganasan ke atas ummat tanpa sedar dia punya banyak tanggungjawab yang harus dia laksanakan. Masa kian terabai, ummat kian lalai. Dia masih dalam omongan. Dibiar dan ditinggal jalan dakwah kesepian. Dia lupa untuk menyentuh hati-hati manusia di luar untuk kembali kepada Allah. Dia alpa pada tanggungjawab untuk menyampaikan walaupun satu ayat. Dia lalai dalam mendoakan agar setiap hati dan jiwa kembali mencari Pencipta yang hakiki. Dia abaikan mereka yang masih tergapai mencari jalan taubat dan hakikat beragama. Dia lupa pada pembaikan imannya. Dan dia masih terus dalam bicara. Sekadar berbicara.
Tiga
Dia masih di situ. Menyeka peluh-peluh yang menitis tatakala diri menghayun langkah melewati pelbagai arah. Niatnya cuma satu. Mahu memberitahu dan menyampaikan kepada dunia serta seluruh isinya agar semua sedar akan segala keganasan yang berlaku di depan mata. Segala penderitaan biar bersama dirasa. Agar semua mara, bangun mengutuk kezaliman yang kian ketara. Makanya dia mengambil bahagian dan tak mahu ketinggalan. Melaung panji dan membuat tuntutan, agar mereka bisa mengerti yang derita ini harus berhenti. Tak perlu diulangi. Dari pagi hingga ke tengahari, setiap tempat dia lewati. Bersama teman – teman mmebuat bantahan. Semoga dengan ramainya bilangan yang hadir, buat mereka sedar. Buat mereka mengerti, sekaligus berasa ngeri. Gerun dengan ramainya bilangan yang menyokong bantahan, menyetujui perdamaian dan mahukan keamanan. Melangkah hingga waktu solat, melintasi rumah – rumah Allah yang juga tempat ibadat.
Ya, dia juga manusia biasa. Kerana itu dia juga lupa. Lupa pada perasaan yang harus dia rasa. Tatkala melangkah melewati setiap rumah Allah. Rumah – rumah itu kosong, tiada siapa yang datang memeriah. Walau azan sudah dilaung.. Saf – saf masih belum penuh. dan dia harus merasa pilu. Pilu pada rumah Allah yang ditinggalkan, sayu dalam hati kerana tidak terpilih, terpanggil untuk menghadapnya di tempat di mana azan diseru. Sungguh, azan itu adalah dakwah dan peringatan yang serba sempurna. ‘marilah mengerjakan solat’ ‘marilah menuju kejayaan’. Kejayaan justeru hanya mampu dicapai jika semua mengerjakan solat. jika semua sentiasa mengamalkan dengan berjemaah. Jika semua mengerjakan dan mendirikannya di awal waktu. Itu janji Allah. Dan sungguh, Dia tidak pernah sesekali memungkiri janji. Logiknya, ramainya manusia yang membantah di jalanan, ramai lagi yang memeriah di rumah ibadah milik Nya. kerana di situ punca jaya, kerana di situ segala harapan bisa jadi kenyataan.
Manusia biasa seperti dia juga lupa. Gerun di hati mereka bukan kerana ramai manusia. Tapi kerana gerun dicampak ke dalam hati oleh Si Dia. Maka perlu pada Nya agar mereka menjadi takut. Agar segala penderitaan menjadi terbantut, dan agar segala keadilan bisa dituntut. Dan bagaimana lagi untuk meraih izin Nya bagi mencampak rasa takut? Dengan menghadirkan diri dalam menyembah Nya berjemaah. Supaya dia sentiasa berada dalam pandangan Nya, agar mudah memancing simpati daripada Nya. dia alpa pada pengajaran sirah. Pada bilangan ummat yang kecil yang mampu membenam tentera yang banyak. Kerana setiap dari ummat itu patuh pada Nabinya. Dan sesungguhnya kepatuhan itu adalah melaksanakan sunnah. Dan antara sunnah yang terbesar adalah solat berjemaah, di rumah Allah (pada lelaki). Kini, bilangan manusia yang membantah semakin ramai. Dari hari ke hari, di setiap jalan, setiap tempat. Dan rumah Allah terus dibiar sepi tanpa penghuni.
Akhir
Doa pertama:
agar hati sentiasa merindui wahyu Ilahi, tertunduk nafsu, terjaga diri. Berpegang pada mukjizat Nabi yang paling besar, semoga selamanya tak kan pernah tersasar. Biar cinta suci hanya milik Ilahi.
Doa kedua
Semoga diri sentiasa sedar tanggungjawab untuk menyampaikan. Pada saudara seislam mahupun kepada yang bukan. Agar selamanya, semua saling ingat – mengingat, nasihat – menasihat seperti wahyu Nya dalam surah al ‘asr’. Cinta antara ummat yang mendapat rahmat dan lindungan arash Nya di hari qiamat.
Doa ketiga
Ibadah hanya bersandarkan sunnah Nabi. Sebagaimana yang diajar Baginda. Semoga segala amalan diterima. Semoga segala perilaku, pemikiran dan bicara Baginda dapat dicerna. Semoga segala silap dan salah dalam beribadah dapat diampun. Agar cinta kepada Nabi bisa menjadi salah satu jalan untuk menuju ke syurga Nya.
Dari
Dia, ummat yang sengsara, yang tertipu dengan dunia
No comments:
Post a Comment