Tajuk yang mudah : kerahsiaan bersama Allah. Hati jadi tertarik, terasa perasaan ingin tahu meninggi. Apakah yang ingin dirahsiakan, yang hanya antara diri dan Allah sahaja yang tahu? Makanya, helaian demi helaian terus diselak, dibaca, cuba dihadam. Moga akan ada rahsia juga antara dia dan Penciptanya, yang hanya mereka sahaja yang tahu.
Sungguh, hati rasa sayu, hiba. Betapa istimewanya rahsia antara watak yang ditulis dengan Allah. Betapa sepanjang hidupnya di dunia pun belum tentu bisa mempunyai kerahsiaan seistimewa itu. Hati berasa iri, bagaimana dia tidak bisa punya kerahsiaan sedangkan watak itu begitu gembira dan bahagia, menikmati hidup dalam rahsianya yang tersendiri?
Mula mengukur diri, melihat kekurangan. Cuba tersenyum walau sumbing. Memang tak mampu dicapai akan hakikat itu, tapi akan dicuba. Mencuba kerana merasakan yang dirinya juga ingin menikmati pancaran ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian.
Apakah rahsia itu?
"Qasim bin Qasim (maksudnya Nuruddin Mahmud Zanki) mempunyai rahsia bersama Allah. Ia tidak mengalahkan kami kerana tenteranya yang banyak, melainkan ia dapat mengalahkan kami berkat doa dan solat malam. Ia solat malam, mengangkat tangannya kepada Allah, dan berdoa kepada-Nya lalu Allah mengabulkan doa dan permintaannya sehingga ia dapat mengalahkan kami." – pengakuan pihak kuffar terhadapnya.
Ya, ‘...dia bersolat malam, berdoa, mengangkat tangan..’. Perkara yang biasa didengar namun sungguh asing dalam kehidupannya. Betapa selama ini, dia hanyut dalam urusan duniawi, penat di siang hari maka disangka dirinya akan beroleh ketenangan hanya dengan membiarkan dirinya lena atas perbaringan, kononnya bagi mendapatkan rehat yang cukup, sedangkan...
‘Sehari sebelum penaklukan Constantinople, Muhammad al Fateh telah memerintahkan kepada pasukannya untuk berpuasa pada siang harinya. Dan saat malam tiba, mereka melaksanakan solat malam dan munajat penuh harap akan pertolongan-Nya. Beliau dan tenteranya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu...’
Apa, tidak kenal erti penatkah mereka? Sedangkan dia yang hanya duduk selesa di atas kerusi mendengar kuliyah daripada pensyarah dan sekadar bergerak ke sana sini menaiki bas sudah lenguh kaki, sudah tidak tertahan dengan godaan untuk menikmati tidur tanpa sesalan kerana meninggalkan antara sunnah Nabi yang utama.
Apa lagi alasan yang harus diberi? Adakah penat waktu siangnya setimpal, sama dengan mereka yang berjihad di jalan Allah? Dia hanya mencari alasan, memaafkan dirinya yang melanggar dan meninggalkan sunnah. Dia berasa gembira bangun pada keesokan hari dengan tidur yang cukup, tapi hanya gembira. Sedangkan mereka yang dikatakan olehnya punya ‘tidur yang minimum’ kerana ingin bangun untuk mengadu dan meminta ampun kepada Tuhan mereka, bukan sahaja memiliki ketenangan dan kebahagiaan, bahkan juga punya rahsia bersama Tuhan. Rahsia terindah di akhir malam.
Dia perlu tersedar, walau susah sekalipun, dia harus mendidik diri agar menghidupkan sunnah. Dia bukan sesiapa. Jika Nuruddin adalah pemerintah adil yang berjaya memperluaskan jajahan Islam dan dihormati tentera kuffar jua golongan beriman,
‘Dia (Nuruddin) bagus penulisannya, banyak membaca buku-buku agama serta mengikuti sunnah Nabi, memelihara solat berjamaah, banyak membaca Al-Qur'an, senang mengerjakan kebajikan, memelihara perut dan kemaluan, berhemah dalam berbelanja makanan dan pakaian untuk dirinya dan keluarganya, sehingga dikatakan bahawa ia orang paling fakir pada masanya. Ia lebih banyak mengeluarkan nafkah, tidak menimbun harta dan tidak mementingkan dunia.Tidak pernah terdengar darinya sebuah kata keji pun, baik ketika sedang marah maupun ketika tidak marah, banyak diam dan bersikap tenang.’
Dan jika Muhammad al fateh adalah sebaik-baik ketua yang disebut dalam hadith nabi,
“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” – terjemahan hadith
dia pula hanya seorang hamba Allah yang hina, penuh dosa dan bergelumang dengan maksiat. Jadi, mengapa dia masih bersenang lenang?
Tanpa sedar langkah diatur, menyucikan diri dari hadas kecil, mengenakan telekung dan menebar sejadah. Takbir diangkat perlahan. Mencuba menjadi dari yang biasa kepada luar biasa dengan adanya sebuah rahsia di akhir malam. Rahsia rindu dan cinta kepada Yang Esa, Sang Pencipta.
------------------------------------------------
wahai orang yang berselimut...
‘Pada hari Jumaat pertama di Konstantinopel, ketika diadakan solat Jumaat terjadi kebingungan dalam menentukan imam. Muhammad al Fateh dengan lantang meminta seluruh tenteranya berdiri dan mengajukan pertanyaan: “Siapa di antara kalian yang sejak baligh hingga saat ini pernah meninggalkan solat fardhu silakan duduk”
Tidak ada seorang pun yang duduk, bererti seluruh tentera sejak usia baligh tidak pernah meninggalkan solat fardhu.
Beliau berkata lagi, “Siapa yang sejak baligh hingga saat ini pernah meninggalkan solat sunat rawatib silakan duduk” Sebahagian tenteranya masih tegak berdiri dan sebahagian lagi duduk. Jadi sebahagian tentara beliau sejak balighnya tidak pernah meninggalkan solat sunat rawatib.
Kemudian beliau berkata lagi, “Siapa yang sejak baligh hingga hari ini pernah meninggalkan solat tahajud silakan duduk” Kali ini seluruh tentera duduk. Yang tinggal berdiri hanya beliau sendiri. Ternyata sejak usia baligh beliau belum pernah meninggalkan solat tahajud sehingga beliaulah yang paling layak menjadi imam.
Repvblik - Sujudku
seakan jantungku tak berdetak
sujudku
doaku semoga Kau panggil aku
No comments:
Post a Comment