Wednesday, February 25, 2009

h.u.l.u.r




kadang dia merasa sudah cukup jasanya bertaburan di bumi. Lalu kerana itu dia seringkali malas, keberatan menghulur bantuan pada yang meminta. Konon apa yang dia hulur sudah memadai buat membeli sebuah syurga. Ya, jika syurga dunia yang dicari, pasti sudah ketemu. Segala puji, senyum manis dan kata-kata sanjungan yang diucap umpama api di dalam sekam, musuh di dalam selimut, gunting dalam lipatan. Umpama api yang membakar kayu. Marak menyala tanpa belas. Meratah segala amal, tanpa tersisa walau sedikit.




Dan hari itu, di tengahari dia mencelah mencari ruang pada deretan kenderaan yang bersesak-sesak menghimpit dan memenuhi ruang. Cuba meloloskan diri dan berhenti tepat di belakang garisan yang diberi warna putih. Menanti dengan penuh kesabaran di bawah teriknya matahari dan kepenatan yang dikumpul sejak awal pagi. Masa terus berjalan dan dia dalam keadaan bersedia untuk segera meneruskan perjalanan yang terhenti dek kerana warna merah lampu di depannya.




Sebelum berhenti memang matanya sempat menangkap kelibat kanak-kanak berjalan melalui lorong antara dua kenderaan. Tanpa selipar dengan pakaian yang kurang kemas menadah tangan memohon simpati pemilik kenderaan yang punya beberapa roda dan tayar juga yang punya tingkap yang sengaja digelap. Daripada pelbagai label dan designs. Menarik secarik hati yang kekal dingin dek kerana nyamannya udara di dalam kereta dan cuba untuk menagih simpati mereka agar dia tidak terus dalam keadaan lapar dan dahaga.




Dia mengambil beg di depannya. Membuka zip dan menyeluk mencari helaian kertas yang tertera angka. Mungkin juga kepingan-kepingan timah yang bercop yang mungkin bakal membantu menghenti penantian si anak kecil yang masih memandang polos bagai mengharap pada sesuatu buat membantu. Dikerlingnya pintu-pintu yang tertutup rapat. Kejap. Tiada tanda akan dibuka. Tiada tanda cermin itu akan diturunkan. Tangan dihulur dan helai kertas sudah bertukar pemilik. Dia lega. Konon, dengan apa yang dia beri, benar-benar dapat membantu anak di depannya. Konon, benar-benar apa yang dia hulur dapat menghilang dahaga, memenuh perut yang kosong dan berkeroncong. Konon dengan apa yang dia lakukan, seakan telah disahkan keikhlasan, diterima serta diberkati amalannya.




Dia. Mudah benar puas dalam beramal. Mudah benar lega seakan segala beban dan tanggungjawab sudah selesai. Tanpa dihirau akan penerimaan Tuhan, tanpa dia memikir akan sikapnya yang kikir. Tanpa dia sedar akan presentasi amalan. Seakan melepas batuk di tangga. Sewenang dan selamba. Seakan tiada harapan dan ketakutan dalam mencari sebuah keberkatan.



Dan di kala itu, sebaik bertukar milik, datang lagi seorang kanak-kanak. Punya maksud yang sama Cuma datangnya pada masa yang berbeza. Lampu hampir bertukar hijau. Setiap yang menanti sudah dihambat resah mahu segera pulang. Merehatkan kepala dan badan yang penat tiada sempat. Terges-gesa menyempurnakan urusan dunia. Kanak-kanak itu sudah berada di depan matanya. Lampu bertukar hijau. Tatkala dia pergi jauh melintasi garis putih bersama kenderaan-kenderaan yang lainnya, dia masih sempat mendengar suara sayu itu meminta-minta, mata yang kuyu masih memandang penuh pengharapan, dan mimik wajah yang risau akan rezeki yang bakal dibawa pulang. Rupanya bukan sahaja untuk dirinya, tapi untuk seraut wajah adiknya yang masih menanti sesuap nasi.



Dalam lajunya dia menghala pulang, dia lupa. Dia turut membawa bersama sendu sedan si insan kerdil yang serba kekurangan. Dalam kelegaan berjaya menempuh lalu lintas yang penuh sesak lagi mencabar, terselit seribu rasa yang sukar dimengertikan. Masakan dia boleh terus berlalu tatkala berdiri di depannya seorang makhluk Tuhan yang benar dalam kesusahan. Hati oh hati. Janganlah kau biarkan ruang itu dipenuhi dunia. Dan dunia, tempat kamu bukan di hati, mengajar tentang erti duniawi dan nafsu nafsi. Tapi tempat kamu hanya di tangan, sebagai alat untuk bekalan menuju ke satu tempat yang kekal. Dan Tuhan, dia punya harapan. Mohon agar hati ini lebih tercurah simpati dan penuh dengan sesuatu yang diberi nama ihsan. Op op cop. Bukan nama orang ya!




Tuesday, February 10, 2009

suduT mAri berCerita


Di suatu tadika kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang membuang masa. Tapi bukanlah dalam keadaan seperti mat-mat gian mahupun mat-mat jiwang memetik gitar sedang melepak di tembok batu sewaktu azan maghrib berkumandang dengan jayanya.



Kanak-kanak itu telah habis waktu persekolahan dan sedang menunggu bas mahupun keluarga datang menjemput. Mungkin juga menunggu bibik atau driver sekiranya ibu bapa mereka bekerja. Maklumlah hidup di zaman kapitalisme. Banyak sungguh dugaan dan cabaran. World without boundaries katanya.



Sementelah menunggu, seorang kanak-kanak telah berkata kepada yang lain, ‘eh jom main!’. Entah mungkin sekadar berbasa-basi entahkan mungkin benar-benar ikhlas. Seperti biasa adat orang mengajak, ada yang menerima ajakan, ada yang memandang sepi. Ada yang tak nak pandang dan juga memandang serong ajakan.



Mungkin kerana ajakan itu menurut pandangan sesetangah mereka seakan kurang ikhlas kedengaran atau sumbang tanpa pitch dan notation yang betul. Maklumlah siapa menyangka, dengan kemudahan teknologi semua di hujung jari. Seawal usia, anak-anak sudah menonton segala jenis dan bentuk hiburan tanpa limitasi. Termasuk menonton segala aksi maki dan caci serta belajar senyuman sinis daripada pihak juri.



Hingga terkadang kanak-kanak sudah pandai melaram di depan cermin dan menyanyi dengan lantang sekali di dalam bilik sambil berangan-angan mendapat satu juta buat rakaman suara dan publisiti.juga sudah pandai mengajuk-ajuk gaya seakan telah memenangi anugerah seni tempatan mahupun pertandingan karaoke berdekatan.



Bahkan silap haribulan hingga menganggu jiran taulan yang entahkan sedang bersembahyang, mengajar anak mengaji mahupun bermarhaban. Maklumlah sejak kecil sudah diajar mengalun suara kerana kaum keluarga juga masing-masing kaki karaoke yang apabila datang giannya sebulan sekali ataupun seminggu sekali datang menghibur diri.



Berbalik kepada kanak-kanak tadika tadi. Kanak-kanak yang mengajak tanpa berputus asa masih lagi mengajak. Usaha yang bersungguh-sungguh dan tanpa mudah menyerah kalah juga dengan bantuan tipu helah akhirnya telah menyebabkan ramai kanak-kanak lain yang terpengaruh menyertai pakatan itu.



Akhirnya mereka bermain dengan jayanya dan tanpa was-was. Bergembira menikmati zaman kanak-kanak dan apabila ibubapa/driver/bibik datang bertanya tentang persekolahan mereka, ada keseronokan dan kegembiraan yang mahu diceritakan, ada nilai-nilai persahabatan yang boleh dibanggakan.



Sekian.


eh nanti! tak habis lagi.




Begitu juga dalam berdakwah. Ajak bukan ajar. Hidup di dunia, sementara membuang masa menunggu dipanggil untuk ke akhirat cuba untuk digunakan sebaiknya. Iya,bukan mudah. Gayanya seperti budak tadika mengajak kanak-kanak lain di tadikanya bermain. Ada yang tercari-cari bagaimana mengisi waktu di dunia, lantas apabila diajak dengan berhikmah dan bijaksana laju sahaja dia mengangguk dan mengikut dengan gembira.



Ada yang malu pada mulanya kerana menyangka dia tidak layak dan banyak melakukan kerja jahat tapi masih punya mahu dalam jiwa raga. Maka harus diajak berulang kali tanpa putus asa hingga dia tak malu-malu dan mahu pada islam.



Ada juga yang tak tahu apa yang dia mahu. Tapi apabila orang lain tunjukkan dia lantas menggeleng menafikan. Mungkin takut jika dilihat terlalu beragama. Mungkin juga tiada waktu di dunia. Maka harus berhikmah dan cermat dalam menanggapi hati-hati ini. Cuba perlbagai cara dan bijaksana.



Ada pula yang seakan-akan mahu apabila mendengar ajakan tapi kemudiannya berlalu. Memandang sepi. Meninggalkan yang diajak seorang diri. Hilang minat kerana tiada konsistensi. Dan juga yang berasa diri sudah cukup apa yang ada lalu enggan menoleh lagi pada ajakan. Hati-hati ini harus dibuka agar melihat kekurangan diri dan anugerah Ilahi.



Dan tak kurang yang dengki lantas mahu memberhenti segala ajakan lalu mencaci maki sesuka hati. Lagak seperti abu lahab dan si isteri cuba menghalang dakwah nabi. maka harus merendah diri dalam mengajak. Dan sebaik-baik ajakan adalah yang dicontoh oleh nabi. masih merendah diri dan terus menghormati yang mahu diajak tanpa sedikitpun ingin memuji diri atau berharap pada gaji. Mengetuk pintu demi pintu dan hati demi hati menyuluh cahaya suci. Memuji kebesaran Ilahi.



Akhirnya? Ya, akhirnya sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Tak semua setengah, tak setengah suku, tak suku satu. Ada juga yang menerima ajakan. Itu rahmat Ilahi bukan hasil dari usaha sendiri. Tak perlu bangga tak perlu tulis dalam diari. Yang perlu adalah doa hidayat bukan doa laknat.



Kebahagian itu akan datang hasil sebuah keberkatan. Bukan dari dunia lagi mungkin juga di akhirat. Moga boleh diguna dijadikan alasan atas apa yang diusahakan untuk merebut sebuah keberkatan. Moga dipermudah penghisaban amalan. Moga laju sepantas kilat di atas titian sirat perjalanan. Moga syurga itu milik mutlak berkekalan.



Itulah keseronokan. Itulah kegembiraan. Itulah kebahagian. Itulah persahabatan.Ajak. Bukan ajar.




Ajak bermain. Tak semestinya yang mengajak sedang bermain. Mungkin sahaja belum mula dan masih mencari ahli. Tak cukup korum katanya.



Ajak kepada Islam. Boleh sahaja yang mengajak belum mantap dan kefahaman mendalam tapi mahu belajar bersama-sama orang yang diajak. Bak kata orang di kampung, Kill two birds with a stone. Satu rahmat pada ajakan, satu lagi pada kemahuan untuk belajar mendalami Islam.



Ajar? Itu yang sebagai guru harus benar-benar punya ilmu. Dia di depan sedang yang diajar di belakang. Menadah ilmu. Kalau seseorang mengajar maka dia mesti perfect. Mesti jelas dan terang. Kalau tidak akan dikatakan sesat. Nanti silap haribulan dikatakan satu lagi ajaran berkerajaan langit sebagai pusat. Guru berhak marah pada anak murid yang main-main sewaktu diajar.



Marah bukan kerana jeles anak muridnya dapat bermain riang ria tapi kerana khuatir ajarannya disalah erti. Nanti disoal pula ketika mati. Maka bukan semua boleh mengangkat diri. Baru bertatih membaca kitab sudah rasa pandai sekali. Sudah boleh mempertikai itu ini. Guru itu tinggi darjatnya di sisi Ilahi.



Maka bagi saya yang tak pandai itu ini, sebagai manusia awam, saya harus ajak bukan ajar. Mengajak semua terutama diri untuk belajar. Belajar tentang yang haq. Belajar kepada yang benar. Belajar akan Islam.



hey kamu yang tengah membaca, saya nak ajak kamu. mari sama-sama mendalami islam. jom!

Wednesday, February 4, 2009

s O L a t


Eh, bukan! Jangan panic. Ini bukan tazkirah atau ceramah mahupun forum perdana. Takat tajuk sahaja yang berat. Mungkin nak buat gempak. Entah.




Ada kepala haiwan di dalam masjid. Memanglah. Dalam masjid ada cicak, semut dan kalau tak terjaga mungkin juga lipas. Binatang hidup yang punya kepala. Tapi kalau binatang mati yang hanya bahagian kepala yang diletakkan di dalam masjid, apa lagi yang mau dikata? Pulak, ini bukan sebarang binatang, ada bahagian yang tersendiri dalam bab najis di kitab fiqh.




Kalau mahu melatah memang senang. Tapi mau mengambil pengajaran, itu yang payah. Boleh sahaja menunding jari kepada semua kemudian suasana sunyi,kembali sepi. Namun apa yang nyata, kalau kepala binatang yang memegang lesen najis berat sudah ada dalam tempat ibadah, apa nak dikata pada makhluk-makhluk Allah yang bergelar manusia termasuk yang empunya blog yang masih tak reti-reti lagi belajar nak memenuh dan memeriahkan rumah Sang Pencipta? Manusia bukan najis, kan? Kenapa masih segan melangkah ke tempat yang mulia?




Entah perasaan entahkan perasan. Sejak akhir-akhir ini bukan takat azan, qamat atau pengumuman berita kematian yang biasa terdengar jelas melalui tingkap bilik. But the whole package, starting form Koran recitation a few minutes before adhan, followed by iqamah, then the 1st takbir, fatihah, ....................................salam to hadith recitation, may be taken from kitab fadhail amal. Semua terdengar jelas. Satu-satu. Tanpa was-was.Adakah masjid tempat ni telah membeli speaker yang gempak dan bergaya? Dan itu cerita lain.




Maka mari mencari makna yang tersirat di sebalik yang tersurat. Apa tandanya? Senang nak interprete tapi susah nak istiqamah. It’s simple. Owh, bukan! Salah lagi. Bukanlah tandanya masjid itu telah menjadi kaya dan berlagak dengan speaker barunya. Bukan pula muazzin mahupun imam ingin ri’ak dengan suaramerdu buluh perindu. Tapi...




if i were a boy, apa ke hal dah sampai muazzin tu azan rasa macam kat sebelah telinga pun tak reti-reti nak angkat kaki sendiri keluar rumah menghala ke masjid berdekatan untuk berjemaah? Itukan antara sunnah Nabi yang terbesar.Solat di tempat di mana azan dilaungkan.




And if I were a girl, apa kes dok sibuk blogging dan mengumpat lagi lepas dengar azan? Solat awal waktu pun sunnah Nabi yang paling besar. oh, tapi saya sering terlupa. Melambat-lambatkan solat juga bisa menjadi hijab. No wonder doa untuk saudara-saudara di Palestine masih tidak terkabul. Kerana saya masih jauh dari sunnah Nabi. masih menjauhi solat berjemaah dan masih terkedek-kedek dengan selamba melewatkan solat. tapi masih ada hati dan perasaan pula untuk wondering, ‘eh, kenapa doa masih tak diterima-terima ni?’




Allah tak kan mengubah nasib sesuatu kaum itu hingga kaum itu mengubah nasib mereka.




Maka harus ubah gaya hidup, agar hijab tiada dan mudah pula doa diterima.Dengar tu saya, saya , saya dan saya. Sila berubah. Jangan sengaja membuat hijab tapi masih budget doa boleh diterima. Perasan bagus. Perasan suci. Dan apa-apalah.




Sorong papan tarik papan

Buah keranji dalam perahu

Suruh solat memang penyegan

Awal waktu lagi tak mahu





sekian, terima kasih. :P