Wednesday, February 25, 2009

h.u.l.u.r




kadang dia merasa sudah cukup jasanya bertaburan di bumi. Lalu kerana itu dia seringkali malas, keberatan menghulur bantuan pada yang meminta. Konon apa yang dia hulur sudah memadai buat membeli sebuah syurga. Ya, jika syurga dunia yang dicari, pasti sudah ketemu. Segala puji, senyum manis dan kata-kata sanjungan yang diucap umpama api di dalam sekam, musuh di dalam selimut, gunting dalam lipatan. Umpama api yang membakar kayu. Marak menyala tanpa belas. Meratah segala amal, tanpa tersisa walau sedikit.




Dan hari itu, di tengahari dia mencelah mencari ruang pada deretan kenderaan yang bersesak-sesak menghimpit dan memenuhi ruang. Cuba meloloskan diri dan berhenti tepat di belakang garisan yang diberi warna putih. Menanti dengan penuh kesabaran di bawah teriknya matahari dan kepenatan yang dikumpul sejak awal pagi. Masa terus berjalan dan dia dalam keadaan bersedia untuk segera meneruskan perjalanan yang terhenti dek kerana warna merah lampu di depannya.




Sebelum berhenti memang matanya sempat menangkap kelibat kanak-kanak berjalan melalui lorong antara dua kenderaan. Tanpa selipar dengan pakaian yang kurang kemas menadah tangan memohon simpati pemilik kenderaan yang punya beberapa roda dan tayar juga yang punya tingkap yang sengaja digelap. Daripada pelbagai label dan designs. Menarik secarik hati yang kekal dingin dek kerana nyamannya udara di dalam kereta dan cuba untuk menagih simpati mereka agar dia tidak terus dalam keadaan lapar dan dahaga.




Dia mengambil beg di depannya. Membuka zip dan menyeluk mencari helaian kertas yang tertera angka. Mungkin juga kepingan-kepingan timah yang bercop yang mungkin bakal membantu menghenti penantian si anak kecil yang masih memandang polos bagai mengharap pada sesuatu buat membantu. Dikerlingnya pintu-pintu yang tertutup rapat. Kejap. Tiada tanda akan dibuka. Tiada tanda cermin itu akan diturunkan. Tangan dihulur dan helai kertas sudah bertukar pemilik. Dia lega. Konon, dengan apa yang dia beri, benar-benar dapat membantu anak di depannya. Konon, benar-benar apa yang dia hulur dapat menghilang dahaga, memenuh perut yang kosong dan berkeroncong. Konon dengan apa yang dia lakukan, seakan telah disahkan keikhlasan, diterima serta diberkati amalannya.




Dia. Mudah benar puas dalam beramal. Mudah benar lega seakan segala beban dan tanggungjawab sudah selesai. Tanpa dihirau akan penerimaan Tuhan, tanpa dia memikir akan sikapnya yang kikir. Tanpa dia sedar akan presentasi amalan. Seakan melepas batuk di tangga. Sewenang dan selamba. Seakan tiada harapan dan ketakutan dalam mencari sebuah keberkatan.



Dan di kala itu, sebaik bertukar milik, datang lagi seorang kanak-kanak. Punya maksud yang sama Cuma datangnya pada masa yang berbeza. Lampu hampir bertukar hijau. Setiap yang menanti sudah dihambat resah mahu segera pulang. Merehatkan kepala dan badan yang penat tiada sempat. Terges-gesa menyempurnakan urusan dunia. Kanak-kanak itu sudah berada di depan matanya. Lampu bertukar hijau. Tatkala dia pergi jauh melintasi garis putih bersama kenderaan-kenderaan yang lainnya, dia masih sempat mendengar suara sayu itu meminta-minta, mata yang kuyu masih memandang penuh pengharapan, dan mimik wajah yang risau akan rezeki yang bakal dibawa pulang. Rupanya bukan sahaja untuk dirinya, tapi untuk seraut wajah adiknya yang masih menanti sesuap nasi.



Dalam lajunya dia menghala pulang, dia lupa. Dia turut membawa bersama sendu sedan si insan kerdil yang serba kekurangan. Dalam kelegaan berjaya menempuh lalu lintas yang penuh sesak lagi mencabar, terselit seribu rasa yang sukar dimengertikan. Masakan dia boleh terus berlalu tatkala berdiri di depannya seorang makhluk Tuhan yang benar dalam kesusahan. Hati oh hati. Janganlah kau biarkan ruang itu dipenuhi dunia. Dan dunia, tempat kamu bukan di hati, mengajar tentang erti duniawi dan nafsu nafsi. Tapi tempat kamu hanya di tangan, sebagai alat untuk bekalan menuju ke satu tempat yang kekal. Dan Tuhan, dia punya harapan. Mohon agar hati ini lebih tercurah simpati dan penuh dengan sesuatu yang diberi nama ihsan. Op op cop. Bukan nama orang ya!




No comments: