Tuesday, February 10, 2009

suduT mAri berCerita


Di suatu tadika kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang membuang masa. Tapi bukanlah dalam keadaan seperti mat-mat gian mahupun mat-mat jiwang memetik gitar sedang melepak di tembok batu sewaktu azan maghrib berkumandang dengan jayanya.



Kanak-kanak itu telah habis waktu persekolahan dan sedang menunggu bas mahupun keluarga datang menjemput. Mungkin juga menunggu bibik atau driver sekiranya ibu bapa mereka bekerja. Maklumlah hidup di zaman kapitalisme. Banyak sungguh dugaan dan cabaran. World without boundaries katanya.



Sementelah menunggu, seorang kanak-kanak telah berkata kepada yang lain, ‘eh jom main!’. Entah mungkin sekadar berbasa-basi entahkan mungkin benar-benar ikhlas. Seperti biasa adat orang mengajak, ada yang menerima ajakan, ada yang memandang sepi. Ada yang tak nak pandang dan juga memandang serong ajakan.



Mungkin kerana ajakan itu menurut pandangan sesetangah mereka seakan kurang ikhlas kedengaran atau sumbang tanpa pitch dan notation yang betul. Maklumlah siapa menyangka, dengan kemudahan teknologi semua di hujung jari. Seawal usia, anak-anak sudah menonton segala jenis dan bentuk hiburan tanpa limitasi. Termasuk menonton segala aksi maki dan caci serta belajar senyuman sinis daripada pihak juri.



Hingga terkadang kanak-kanak sudah pandai melaram di depan cermin dan menyanyi dengan lantang sekali di dalam bilik sambil berangan-angan mendapat satu juta buat rakaman suara dan publisiti.juga sudah pandai mengajuk-ajuk gaya seakan telah memenangi anugerah seni tempatan mahupun pertandingan karaoke berdekatan.



Bahkan silap haribulan hingga menganggu jiran taulan yang entahkan sedang bersembahyang, mengajar anak mengaji mahupun bermarhaban. Maklumlah sejak kecil sudah diajar mengalun suara kerana kaum keluarga juga masing-masing kaki karaoke yang apabila datang giannya sebulan sekali ataupun seminggu sekali datang menghibur diri.



Berbalik kepada kanak-kanak tadika tadi. Kanak-kanak yang mengajak tanpa berputus asa masih lagi mengajak. Usaha yang bersungguh-sungguh dan tanpa mudah menyerah kalah juga dengan bantuan tipu helah akhirnya telah menyebabkan ramai kanak-kanak lain yang terpengaruh menyertai pakatan itu.



Akhirnya mereka bermain dengan jayanya dan tanpa was-was. Bergembira menikmati zaman kanak-kanak dan apabila ibubapa/driver/bibik datang bertanya tentang persekolahan mereka, ada keseronokan dan kegembiraan yang mahu diceritakan, ada nilai-nilai persahabatan yang boleh dibanggakan.



Sekian.


eh nanti! tak habis lagi.




Begitu juga dalam berdakwah. Ajak bukan ajar. Hidup di dunia, sementara membuang masa menunggu dipanggil untuk ke akhirat cuba untuk digunakan sebaiknya. Iya,bukan mudah. Gayanya seperti budak tadika mengajak kanak-kanak lain di tadikanya bermain. Ada yang tercari-cari bagaimana mengisi waktu di dunia, lantas apabila diajak dengan berhikmah dan bijaksana laju sahaja dia mengangguk dan mengikut dengan gembira.



Ada yang malu pada mulanya kerana menyangka dia tidak layak dan banyak melakukan kerja jahat tapi masih punya mahu dalam jiwa raga. Maka harus diajak berulang kali tanpa putus asa hingga dia tak malu-malu dan mahu pada islam.



Ada juga yang tak tahu apa yang dia mahu. Tapi apabila orang lain tunjukkan dia lantas menggeleng menafikan. Mungkin takut jika dilihat terlalu beragama. Mungkin juga tiada waktu di dunia. Maka harus berhikmah dan cermat dalam menanggapi hati-hati ini. Cuba perlbagai cara dan bijaksana.



Ada pula yang seakan-akan mahu apabila mendengar ajakan tapi kemudiannya berlalu. Memandang sepi. Meninggalkan yang diajak seorang diri. Hilang minat kerana tiada konsistensi. Dan juga yang berasa diri sudah cukup apa yang ada lalu enggan menoleh lagi pada ajakan. Hati-hati ini harus dibuka agar melihat kekurangan diri dan anugerah Ilahi.



Dan tak kurang yang dengki lantas mahu memberhenti segala ajakan lalu mencaci maki sesuka hati. Lagak seperti abu lahab dan si isteri cuba menghalang dakwah nabi. maka harus merendah diri dalam mengajak. Dan sebaik-baik ajakan adalah yang dicontoh oleh nabi. masih merendah diri dan terus menghormati yang mahu diajak tanpa sedikitpun ingin memuji diri atau berharap pada gaji. Mengetuk pintu demi pintu dan hati demi hati menyuluh cahaya suci. Memuji kebesaran Ilahi.



Akhirnya? Ya, akhirnya sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Tak semua setengah, tak setengah suku, tak suku satu. Ada juga yang menerima ajakan. Itu rahmat Ilahi bukan hasil dari usaha sendiri. Tak perlu bangga tak perlu tulis dalam diari. Yang perlu adalah doa hidayat bukan doa laknat.



Kebahagian itu akan datang hasil sebuah keberkatan. Bukan dari dunia lagi mungkin juga di akhirat. Moga boleh diguna dijadikan alasan atas apa yang diusahakan untuk merebut sebuah keberkatan. Moga dipermudah penghisaban amalan. Moga laju sepantas kilat di atas titian sirat perjalanan. Moga syurga itu milik mutlak berkekalan.



Itulah keseronokan. Itulah kegembiraan. Itulah kebahagian. Itulah persahabatan.Ajak. Bukan ajar.




Ajak bermain. Tak semestinya yang mengajak sedang bermain. Mungkin sahaja belum mula dan masih mencari ahli. Tak cukup korum katanya.



Ajak kepada Islam. Boleh sahaja yang mengajak belum mantap dan kefahaman mendalam tapi mahu belajar bersama-sama orang yang diajak. Bak kata orang di kampung, Kill two birds with a stone. Satu rahmat pada ajakan, satu lagi pada kemahuan untuk belajar mendalami Islam.



Ajar? Itu yang sebagai guru harus benar-benar punya ilmu. Dia di depan sedang yang diajar di belakang. Menadah ilmu. Kalau seseorang mengajar maka dia mesti perfect. Mesti jelas dan terang. Kalau tidak akan dikatakan sesat. Nanti silap haribulan dikatakan satu lagi ajaran berkerajaan langit sebagai pusat. Guru berhak marah pada anak murid yang main-main sewaktu diajar.



Marah bukan kerana jeles anak muridnya dapat bermain riang ria tapi kerana khuatir ajarannya disalah erti. Nanti disoal pula ketika mati. Maka bukan semua boleh mengangkat diri. Baru bertatih membaca kitab sudah rasa pandai sekali. Sudah boleh mempertikai itu ini. Guru itu tinggi darjatnya di sisi Ilahi.



Maka bagi saya yang tak pandai itu ini, sebagai manusia awam, saya harus ajak bukan ajar. Mengajak semua terutama diri untuk belajar. Belajar tentang yang haq. Belajar kepada yang benar. Belajar akan Islam.



hey kamu yang tengah membaca, saya nak ajak kamu. mari sama-sama mendalami islam. jom!

2 comments:

syurga tinggi _(o'.'o)_ said...

jom!
nice post, nadz..
nanti nak copy paste bleh? hehe

ayasofia said...

he :)
thanks jana

mari-mari segera saya dan kamu menuju syurga yang tinggi

boleh-boleh, copy je tak payah tanya-tanya

takziah ya atas kehilangan. semoga ruhnya dicucuri rahmat, diberi tempat selayaknya orang beriman.